PUTRAJAYA - Perancangan bagi mengurai lalu lintas di sekitar pusat bandar Johor Bahru diteliti bagi mengelakkan pembentukan titik kesesakan baharu menjelang pengoperasian Sistem Transit Rapid (RTS) Link antara bandar itu dan Singapura.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perancangan melibatkan penyelarasan antara agensi serta integrasi sistem pengangkutan awam itu akan menyaksikan corak pergerakan pengguna berubah, khususnya di sekitar pusat bandar dan kawasan mempunyai hubungan terus dengan sistem berkenaan.
"Pendekatan ini selari dengan aspirasi pengangkutan awam lebih bersepadu, cekap, selamat dan mesra rakyat, khususnya dalam menyokong mobiliti rentas sempadan lebih lancar," katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JK-MKKJR) Bil 1/2026 di sini pada Isnin.
RTS Link dijadualkan mula beroperasi pada 1 Januari tahun hadapan dan dijangka membawa sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah.
Sistem itu akan menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Woodlands North di Singapura.
Pada 2 Julai lepas, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke di Dewan Rakyat berkata, Kerajaan Persekutuan akan menyediakan dana bagi membiayai kos pembangunan projek Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART) di Johor sebagai sebahagian usaha menangani unjuran kesesakan yang dijangka apabila RTS Link mula beroperasi.
Anthony berkata, Kementerian Pengangkutan (MOT) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor merangka pelan penyuaraian trafik untuk pengukuhan sistem pengangkutan awam sedia ada, termasuk rangkaian perkhidmatan BAS.MY yang akan diperluaskan kepada 28 laluan melibatkan 254 unit bas termasuk bas elektrik.
Beliau berkata, menerusi Program Transformasi Bas Berhenti-Henti (SBST) 2.0 itu, sebanyak 157 unit bas dikhususkan untuk laluan Johor Bahru Sentral dan Bukit Chagar yang dijangka dapat dimulakan pada awal 2027. - Bernama