Pesara guru terus berbakti, semarak hari guru, ambang merdeka

Iklan
Sambutan hari guru dan Ambang Kemerdekaan 2026 menghimpunkan kira-kira 80 ahli persatuan terdiri daripada bekas Pengarah JPN, pegawai PPD, pengetua, guru besar, guru serta bekas pegawai sokongan KPM.

KOTA BHARU - Bergelar pesara bukan bermakna jasa seorang guru terhenti, sebaliknya pengalaman dan ilmu yang dicurahkan terus menjadi warisan dalam membentuk generasi masa depan, kata Pengerusi Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Cawangan Kota Bharu (5PMCKB), Mohamad Abd Wahab.

Menurut beliau, golongan pesara guru perlu terus dihargai kerana sumbangan mereka dalam dunia pendidikan serta pembangunan masyarakat amat besar.

Iklan
Iklan

Ujarnya, walaupun hari guru sudah berlalu pada 16 Mei lalu, sambutan ini tetap diadakan sebagai tanda penghargaan kepada pesara guru dan pegawai sokongan KPM atas segala pengorbanan, ilmu serta didikan yang telah dicurahkan sepanjang perkhidmatan.

Sambutan hari guru dan Ambang Kemerdekaan 2026 menghimpunkan kira-kira 80 ahli persatuan terdiri daripada bekas Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), pengetua, guru besar, guru serta bekas pegawai sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Iklan

Program yang berlangsung di Dewan Pejabat Pendidikan Daerah Kota Bharu itu turut diisi dengan santapan qalbu oleh motivator muda, Nur Aimuni Mohd Fadzli yang merupakan Johan Tadabbur Antara Rumah Ngaji Negeri Kelantan 2026.

Beliau menyampaikan pengisian bertajuk ‘Emaskan Usia Mu’ dengan mengupas pengertian Surah Al-Asr.

Iklan

Suasana sambutan turut disemarakkan dengan nyanyian beramai-ramai lagu Guru Malaysia, Jalur Gemilang dan Warisan sebelum dua wakil pesara guru, Mat Yunan Said dan Hamidah Awang Mat, mendeklamasikan puisi.

Kemuncak program menyaksikan dua tokoh guru yang banyak menabur jasa dalam bidang pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kemasyarakatan menerima penganugerahan khas.

Mereka ialah bekas Pegawai PPD dan bekas Bendahari 5PMCKB, Ab Hadi Mat serta bekas Guru Besar, Tokoh Koperator dan Tokoh Guru Malaysia, Datin Wan Safinah Salleh.

Menurut Mohamad, penganugerahan berkenaan merupakan penghargaan kepada tokoh yang terus menyumbang kepada masyarakat meskipun telah meninggalkan alam perkhidmatan.

Ujarnya, program turut diakhiri dengan cabutan bertuah membabitkan 15 hamper sebelum sesi bergambar dan jamuan yang menjadi ruang kepada para pesara untuk kembali mengimbau kenangan serta mengeratkan hubungan sesama mereka.