RANTAU PANJANG - Sungai baharu akan digali untuk mengurangkan risiko limpahan air ke kawasan penempatan susulan pembinaan Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di sini.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani Husin berkata, kerajaan negeri akan memohon peruntukan berjumlah RM40 juta dalam masa terdekat melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan.
"Cadangan jajaran baharu itu menghubungkan Sungai Lemal-Lancang ke Sungai Meranti seterusnya masuk ke Sungai Alor mengkuang.
"Air dari Sungai Alor Mengkuang itu pula akan masuk ke Sungai Pengkalan Nangka di Tumpat seterusnya mengalir ke luar ke kawasan kuala," katanya ketika ditemui semasa meninjau perkembangan terkini PLSB berhampiran Pos Kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pos Kalai di sini pada Isnin.
Hadir sama Pengarah JPS Kelantan, Datuk Siti Fairus Zakaria.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang itu memberitahu, cadangan itu merupakan langkah kekal dalam membantu mengurangkan impak banjir.
"Padangan saya kajian-kajian yang dibuat mengenai cadangan ini akan membantu mengurangkan risiko serta mempercepatkan aliran air keluar ke laut," katanya.
Beliau juga akan membangkitkan perkara ini semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang dijadual berlangsung minggu depan.
Dalam pada itu, Dr Izani memberitahu PLSB Sungai Golok fasa satu sudah mencapai kemajuan sebanyak 75 peratus dengan pembinaan benteng hampir siap.
"Selebihnya melibatkan baki kerja melibatkan rumah pam dan beberapa komponen tambahan yang dijangka mengikut jadual.
"Fasa 2 sedang dalam proses. Untuk fasa tiga pula telah mencapai kemajuan sebanyak 25 peratus. Alhamdullilah, semua kerja-kerja pengambilan tanah sudah selesai," katanya.
Dr Izani memberitahu, pelaksanaan ketiga-tiga fasa itu merupakan antara usaha penting untuk memperkukuh sistem tebatan banjir, khususnya di kawasan yang berisiko menerima limpahan air Sungai Golok.
Beliau berkata, PLSB Sungai Golok sepanjang 100 kilometer yang dilaksanakan dalam tiga fasa dijangka siap sepenuhnya pada 2028.