Myanmar sahkan hampir 309,000 pelarian Rohingya layak pulang

Iklan
Pelarian Rohingya berkumpul bagi memperingati ulang tahun kedua penghijrahan besar-besaran mereka di kem Kutupalong, Cox’s Bazar, Bangladesh. Foto Reuters.

NAYPYIDAW - Kerajaan tentera Myanmar mengesahkan hampir 309,000 pelarian Rohingya yang kini berada di kem pelarian Bangladesh merupakan bekas penduduk negeri Rakhine, namun proses penghantaran pulang mereka masih belum dapat dilaksanakan atas faktor keselamatan.

Kementerian Luar Myanmar dalam kenyataan memaklumkan seramai 308,797 individu telah disahkan sebagai bekas penduduk Rakhine daripada keseluruhan 828,824 nama yang dikemukakan Bangladesh setakat 31 Julai lalu.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, pihak berkuasa Myanmar menegaskan proses penghantaran pulang hanya akan dimulakan selepas keadaan keselamatan di Rakhine kembali stabil.

Wilayah berkenaan ketika ini masih bergolak susulan pertempuran antara tentera Myanmar dan Tentera Arakan (AA), kumpulan bersenjata etnik yang menuntut autonomi lebih luas di Rakhine.

Iklan

Menurut Myanmar, semakan terhadap senarai dikemukakan Bangladesh turut mendapati 4,241 individu didakwa terbabit dalam kegiatan keganasan, manakala status 113,507 yang lain tidak dapat disahkan.

Myanmar pada masa sama menegaskan isu penghantaran pulang Rohingya merupakan perkara dua hala antara negara itu dengan Bangladesh.

Iklan

Usaha membawa pulang pelarian sebelum ini pernah dirancang pada 2018 dan 2019, namun tiada pelarian dilaporkan kembali ke Myanmar menerusi pengaturan tersebut.

Krisis Rohingya memuncak pada 2017 apabila lebih 700,000 etnik minoriti itu melarikan diri ke Bangladesh susulan operasi ketenteraan besar-besaran oleh pasukan keselamatan Myanmar, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ramai lagi dilaporkan terus meninggalkan Myanmar melalui perjalanan berbahaya menggunakan laluan darat dan laut.

Perkembangan terbaharu itu turut mempunyai kaitan dengan Malaysia selepas Myanmar sebelum ini bersetuju menerima kembali 5,000 pencari suaka Rohingya dari Malaysia.

Bagaimanapun, Malaysia menegaskan proses penghantaran pulang tidak akan diteruskan sekiranya ia boleh membahayakan nyawa mereka.

Sehingga keadaan keselamatan di Rakhine bertambah baik, belum ada tarikh ditetapkan bagi memulakan penghantaran pulang hampir 309,000 Rohingya yang telah disahkan Myanmar. - Agensi