MARANG - Seorang ibu dari Bukit Payong di sini menyangka bungkusan besar yang dihantar kepadanya adalah penapis air, namun terkejut apabila mendapati anaknya berada di dalam bungkusan berkenaan.
Khadijah Awang Min, 64, berkata, dia langsung tidak mengetahui kepulangan anak bongsunya, Amir Hamzah Abdullah, 22, yang sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Syariah di Mesir.
Menurutnya, kejutan itu dirancang oleh anak-anaknya sempena hari lahirnya dengan memberitahu terdapat hadiah besar yang akan dihantar kepadanya.
"Daripada saiz kotak, saya ingat penapis air sebab tengok bungkusan itu besar. Saya memang tidak tahu apa-apa.
Sebelum ini, video kejutan kepulangan Amir yang dikongsikan menerusi akaun Tik Tok @binjairebus meraih 319,500 tontonan dengan 18,500 tanda suka.
Khadijah memaklumkan, kepulangan anak bongsu dari 11 adik beradik itu lebih bermakna kerana mereka sudah lebih setahun tidak berjumpa.
Kongsinya, Amir sebelum ini ada merancang untuk pulang, namun kepulangannya kali ini dirahsiakan oleh adik-beradiknya bagi memastikan kejutan berkenaan berjaya.
"Memang terkejut dan dalam masa sama sangat gembira dapat jumpa Amir. Saya ingat dia belum balik lagi dan masih perlu membuat persiapan untuk kepulangannya.
"Rupa-rupanya anak-anak sudah merancang semuanya," menurutnya lagi.
Menurut Khadijah, abang Amir yang tinggal di Kuala Lumpur turut membantu membawa pulang anaknya itu sebelum dia ditempatkan sementara di rumah kakaknya tanpa pengetahuannya.
Katanya, Amir juga tidak menunjukkan sebarang petanda yang boleh menimbulkan syak wasangka sehingga kejutan itu berjaya dilakukan.
Khadijah berkata, kejutan dapat bertemu semula dengan anak selepas sekian lama berjauhan menjadi kenangan paling bermakna buatnya kerana diterima pada ulang tahun kelahirannya pada 29 Julai lalu.
"Ini antara hadiah paling terbaik dalam hidup saya. Dapat jumpa anak selepas sekian lama, memang sangat menggembirakan," katanya.