YUNNAN - Doktor di barat daya China terkejut selepas menemukan 180 batang paku besi bersama pelbagai objek asing di dalam perut seorang lelaki yang mendapatkan rawatan akibat muntah berulang dan sakit perut.
Menurut laporan Yunnan Daily pada Ahad, keluarga lelaki berkenaan membawanya ke Hospital Rakyat Ketiga Wilayah Yunnan selepas keadaannya berterusan.
Pemeriksaan pengimejan kemudian mendedahkan sejumlah besar objek logam telah berkumpul dan bergumpal di dalam perut pesakit.
Himpunan objek tersebut menyebabkan perutnya mengembang dan tertarik ke bawah akibat berat kandungannya.
Pasukan perubatan kemudian melakukan pembedahan selama hampir tiga jam pada Jumaat bagi mengeluarkan kesemua objek asing itu yang mempunyai berat keseluruhan melebihi satu kilogram.
Selain 180 paku besi, doktor turut menemukan syiling, skru, nat dan magnet dengan salah satu paku yang dikeluarkan berukuran hampir 10 sentimeter panjang.
Ketua doktor Jabatan Pembedahan Hepatobiliari dan Pankreas hospital berkenaan, Li Wei berkata, pemeriksaan mendapati bahagian dalam perut pesakit dipenuhi ulser dan mengalami hakisan.
Bagaimanapun, lelaki itu bernasib baik kerana paku berkenaan tidak menembusi dinding perut atau memasuki usus yang boleh menyebabkan komplikasi lebih serius.
Menurut beliau, magnet yang turut berada di dalam perut pesakit dipercayai menyebabkan paku-paku tersebut melekat dan bergumpal antara satu sama lain.
Malah, sebahagian paku dipercayai turut menjadi bermagnet akibat berada bersama objek berkenaan.
Pesakit dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan menunjukkan perkembangan baik selepas menjalani pembedahan.
Wei turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menganggap objek kecil yang tertelan akan keluar sendiri daripada tubuh secara semula jadi.
Menurutnya, objek logam atau tajam boleh tersangkut pada bahagian sempit saluran pencernaan sebelum menyebabkan kecederaan atau menembusi organ.
Keadaan itu boleh mencetuskan peritonitis atau keradangan serius pada lapisan rongga abdomen yang berpotensi mengancam nyawa. - Agensi