Terima dakwaan tanpa penelitian boleh cetus fahaman asabiyah - Mohamad Sabu

Iklan
Mohamad berucap pada majlis pelancaran buku terbitan beliau bersama Ennie Zuhasniza Jamaludin berjudul Mustadhafin vs Mustakbirin di sini pada Ahad.

KUALA LUMPUR - Budaya menerima sesuatu dakwaan tanpa penelitian boleh melahirkan fahaman asabiyah iaitu kecenderungan mempertahankan kelompok sendiri dengan menganggap kesalahan kaum sendiri sebagai baik, manakala kebaikan kaum lain tetap dianggap buruk.

Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, masyarakat tidak seharusnya menerima sesuatu maklumat secara bulat-bulat, sebaliknya perlu membuat penelitian dan mendapatkan gambaran sebenar sebelum membentuk pendirian.

Iklan
Iklan

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata, perkara tersebut termasuk ketika menilai isu-isu semasa politik negara.

"Persoalannya, betulkah DAP komunis?” katanya selepas majlis pelancaran buku terbitan beliau bersama Ennie Zuhasniza Jamaludin berjudul Mustadhafin vs Mustakbirin di sini pada Ahad.

Iklan

Buku itu dilancarkan oleh Tokoh Wartawan Negara merangkap Pengarah Star Media Group Berhad, Tan Sri Johan Jaaffar.

Mohamad berkata, fakta dan ilmu sememangnya lebih sukar serta mengambil masa untuk diterima berbanding tuduhan serta syak wasangka yang mudah tersebar, terutama menerusi media sosial.

Iklan

Mengulas mengenai buku itu, Mohamad berkata, ia mengisahkan pengalaman dan pertemuan beliau dengan pelbagai pihak dalam usaha memahami sesuatu isu berdasarkan keadaan sebenar dan bukan sekadar maklumat yang disebarkan.

"Sejak kecil dan muda lagi, apabila saya menerima suatu maklumat, saya tidak terus mengambil maklumat itu sebagai pegangan. Saya lebih suka selidik sendiri apa yang berlaku daripada sekadar mendengar propaganda yang disebarkan,” katanya.

Beliau berkata buku itu juga mengupas percaturan geopolitik dunia berdasarkan pengalaman, pemerhatian dan pemikirannya, selain menyentuh isu penjajahan, gerakan Islam, konflik Palestin serta perubahan keseimbangan kuasa dunia.- Bernama