Sindiket dadah masih guna laluan haram Sungai Golok

Iklan
Plastik mengandungi pil kuda yang ditemui oleh polis. Foto PDRM

PASIR MAS - Sindiket pengedaran dadah dikesan masih menggunakan laluan sempadan Sungai Golok untuk menyeludup masuk pil kuda dari negara jiran ke Kelantan.

Kegiatan itu dibongkar Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan dengan menahan seorang lelaki warga Thailand berusia 45 tahun bersama rampasan 6,000 pil kuda di tepi Jalan Kampung Rahmat, Jalan Lubok Stol-Rantau Panjang di sini pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pemeriksaan terhadap suspek pada jam 7.30 malam itu menemukan satu bungkusan kertas kekuningan mengandungi pil-pil dadah dianggarkan seberat 655 gram.

“Siasatan mempercayai suspek dari sindiket yang aktif sejak awal tahun ini dengan menggunakan laluan pangkalan haram di Sungai Golok bagi membawa masuk dadah dari negara jiran sebelum dipasarkan di sekitar Kelantan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Iklan

Plastik mengandungi pil kuda yang ditemui oleh polis. Foto PDRM

Beliau berkata, suspek direman selama tujuh hari bermula Ahad hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan.

Iklan

“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine, manakala semakan rekod mendapati dia tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan jika disabitkan kesalahan.

Mohd Yusoff berkata, kejayaan itu hasil risikan berterusan JSJN Kelantan serta kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah.

"PDRM Kelantan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah,” katanya.