'Sanggup redah ratusan kilometer demi selamatkan seekor anjing'

Iklan
Abang Bob sanggup menempuh perjalanan ratusan kilometer dari Puncak Alam ke Kemaman semata-mata mahu menyelamatkan seekor anjing. Foto SKJP

KUANTAN – Sanggup menempuh perjalanan ratusan kilometer menggunakan motosikal roda tiga dari Puncak Alam, Selangor ke Kemaman, Terengganu semata-mata mahu menyelamatkan seekor anjing dari pusat perlindungan haiwan.

Tindakan itu dilakukan Khairul Anuar atau lebih mesra dikenali sebagai Abang Bob, 40-an, yang berasal dari Ketereh, Kelantan, bagi membantu usaha mencari penempatan baharu untuk haiwan tersebut.

Iklan
Iklan

Pengerusi Kelab Sahabat Kucing Jalanan Pahang (SKJP), Jurieena Abdul Rani berkata, kesungguhan Abang Bob yang sanggup datang dari jauh untuk mengambil seekor anjing amat menyentuh hatinya.

Menurutnya, pengorbanan lelaki itu membuktikan keikhlasan membantu haiwan terbiar tidak bergantung kepada kekayaan atau kemampuan kewangan seseorang.

Iklan

"Saya benar-benar tersentuh melihat pengorbanan Abang Bob dan dia mungkin bukan orang yang kaya dengan harta, tetapi sangat kaya dengan jiwa kebajikan.

"Bayangkan, hanya dengan motosikal roda tiga, dia sanggup menempuh perjalanan beratus-ratus kilometer, meredah panas dan hujan semata-mata mahu menyelamatkan seekor anjing," katanya pada Jumaat.

Iklan

Jurieena memberitahu, penutupan pusat perlindungan haiwan atau Shelter Pok Ady di Kampung Bukit Teruna Payoh, Kijal, Kemaman, selepas pemergian pengasasnya, Rahadi Mamat atau Pok Ady pada 23 Oktober lalu.

Kongsinya, Shelter Pok Ady sebelum ini menempatkan 121 ekor anjing dan 86 ekor kucing yang memerlukan penjagaan serta penempatan baharu susulan pemergian pengasasnya.

Katanya, setiap haiwan yang berjaya mendapat penjaga baharu amat bermakna dalam usaha memastikan kebajikan haiwan berkenaan terus terpelihara.

"Saya sedih kerana dunia kebajikan haiwan semakin kehilangan orang-orang baik yang sanggup mengorbankan masa, tenaga dan kehidupan mereka demi haiwan terbiar.

"Apabila seorang penyelamat haiwan pergi buat selama-lamanya, bukan sahaja manusia yang kehilangan, malah haiwan di bawah jagaannya turut kehilangan tempat bergantung," luahnya.

Beliau berharap masyarakat turut memainkan peranan membantu kebajikan haiwan dan tidak meletakkan tanggungjawab itu sepenuhnya kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pengusaha shelter.