SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan memberi kepastian sama ada Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) akan dimansuhkan atau sekadar dipinda sebelum sebarang langkah lanjut dibuat.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, terdapat perbezaan pandangan mengenai perkara itu selepas Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyatakan hasrat berkaitan AUKU.
Menurutnya, jika kerajaan memilih untuk melakukan pindaan, proses itu perlu membabitkan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan termasuk institusi pengajian tinggi, mahasiswa dan Ahli Parlimen.
Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pemansuhan AUKU.
Sebelum ini, Zambry pada Sabtu berkata, pemansuhan AUKU perlu disusuli kerangka perundangan baharu yang menyeluruh dan progresif bagi memenuhi keperluan pendidikan tinggi negara pada masa kini dan akan datang.
Katanya, AUKU bukan sekadar akta yang mengawal hal ehwal serta kebebasan mahasiswa, sebaliknya menjadi akta induk yang menjadi asas kepada penubuhan, pentadbiran dan tadbir urus universiti serta kolej universiti.
Bagaimanapun, Anwar pada Ahad memberi jaminan pemansuhan AUKU 1971 tidak akan digantikan dengan undang-undang baharu yang mengongkong mahasiswa.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, langkah itu bagi membolehkan kebebasan mahasiswa tanpa menyekat kegiatan mereka di kampus.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, sekiranya AUKU benar-benar dimansuhkan, kerajaan perlu menjelaskan mekanisme bagi mengurus dan membimbing mahasiswa di negara ini selepas akta itu tidak lagi berkuat kuasa.
Beliau menjelaskan, pendekatan terhadap mahasiswa tempatan tidak semestinya boleh disamakan dengan mahasiswa di Amerika Syarikat atau negara lain.
Beliau menegaskan, keperluan memastikan mahasiswa mendapat bimbingan sewajarnya dan bukannya sekadar pemantauan.
"Bagaimana cara kita nak urus mahasiswa dalam negara kita ini yang saya kira perlu, bukan pemantauan, tapi perlu bimbingan kepada mereka," tambah beliau.