PRU16: BN Terengganu sedia bincang kerjasama dengan PN jika ada momentum - Rozi

Iklan
Rozi (dua dari kiri) menyampaikan hadiah sempena Program Alpha Gen Talents@Kemas di Kuala Nerus pada Sabtu.

​KUALA NERUS - Barisan Nasional (BN) Terengganu sedia mengadakan perbincangan berhubung kerjasama politik dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) sekiranya wujud momentum ke arah itu.

​Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat berkata, setakat ini perkara berkenaan belum dibincangkan secara rasmi di peringkat kepimpinan negeri mahupun pusat.

Iklan
Iklan

​Menurut beliau, BN Terengganu sentiasa terbuka untuk menjalin hubungan kerjasama dengan pelbagai parti politik demi kesejahteraan dan kestabilan negara serta masyarakat.

​"Sekiranya momentum terarah ke situ, kita bersedia dan tidak ada masalah untuk berbincang. Namun buat masa ini, perbincangan rasmi mengenainya belum ada lagi.

Iklan

Sebelum ini, Sinar Harian dalam Wawancara Khas bersama Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin menyatakan BN-PN dilihat berpotensi membentuk kerajaan Persekutuan pada PRU16 sekiranya kerjasama antara dua gabungan itu dapat diperkukuh dan disepakati lebih awal.

Jelas beliau, kekuatan parti-parti Melayu dalam BN dan PN mampu disatukan menerusi satu formula yang bukan sekadar berasaskan agihan kerusi, tetapi turut mengambil kira kesepakatan dasar dan agenda lebih besar untuk negara.

Iklan

Dalam pada itu, ​mengulas mengenai potensi pembentukan gabungan baharu, Rozi menjelaskan sebarang kemungkinan bergantung kepada perbincangan dua hala kelak, sama ada melibatkan BN dan PN mahupun Pakatan Harapan (PH).

Katanya, beliau mengakui BN berada pada tahap titik terendah berdasarkan keputusan pilihan raya lalu, namun proses transformasi sedang dilaksanakan di semua peringkat parti merangkumi cawangan, bahagian dan negeri.

​Jelas beliau, persediaan BN Terengganu untuk menghadapi PRU16 kini sudah mencapai sekitar 85 peratus merangkumi penyusunan jentera serta strategi kepimpinan.

​"Walaupun berada di bawah, apa yang penting kita sedar di mana kedudukan kita dan tahu apa yang perlu dibuat.

"Kita telah menyusun serta melaksanakan perubahan, terutamanya dalam aspek penerangan dan media sosial di peringkat negeri serta bahagian," katanya.