'Terbakar kampung nampak asap, terbakar hati siapa yang tahu' - Anwar

Iklan
Anwar (dua, kanan) yang juga Presiden PKR menyempurnakan pelancaran buku Temu Fikrah pada Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh. Foto Bernama

AYER KEROH - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim secara peribadi memilih untuk terus bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan demi kestabilan negara.

Menurut beliau, pilihan itu turut didorong hubungan peribadinya yang baik dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Iklan
Iklan

"Itu pilihan saya. Pilihan mereka, biar mereka jawab dan kita sebagai satu parti perjuangan, apa pun kita bersedia kalau terpaksa langgar, kita langgar," katanya dalam ucapan penggulungan di Kongres Nasional Keadilan 2026 di sini pada Ahad.

Perdana Menteri itu berkata, setiap keputusan yang dibuat tidak boleh didorong oleh emosi, sebaliknya perlu memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat dan negara.

Iklan

Jelasnya, pertimbangan juga perlu dibuat secara lebih waras, berhikmah dan penuh kebijaksanaan.

"Saya tahu apa pun keputusan, ia tidak boleh didorong dengan kekesalan atau kemarahan, tetapi didorong oleh kepentingan rakyat dan negara.

Iklan

"Sekiranya sebahagian daripada mereka tak fikir, kita harus fikir. Sebab, kita harus lebih waras dan mesti ada hikmah dan kebijaksanaan," katanya.

Tambahnya, rangkaian Kerajaan Perpaduan hari ini juga tidak akan wujud tanpa hikmah serta kecintaan kepada negara yang menginginkan politik yang stabil.

Anwar berkata, beliau percaya apa sahaja permasalahan yang dihadapi boleh dirunding secara baik, malah setakat ini beliau belum pernah mendengar pandangan negatif di peringkat Kerajaan Persekutuan.

"Saya percaya, kita boleh runding secara baik. Setakat ini, saya belum pernah dengar satu pun pandangan yang negatif di peringkat Kerajaan Persekutuan, peringkat negeri, ALLAH saja mengetahui.

"Seperti mana yang tahu dalam pantun saya, terbakar kampung, nampak asap, terbakar hati siapa yang tahu," katanya.

Beliau turut berpesan bahawa harga menjaga negara terlalu tinggi dan disebabkan itu, penting untuk menjaga kestabilan yang ada sekarang.

"Pendirian ini seperti mana hubungan kita dengan DAP dan Amanah... ramai orang Melayu kata kalau tiada DAP, kami sokong.

"Tapi fikiran kita harus bijak dan waras. Maka saya kata, kita kena kekal, kita tak kompromi soal Melayu, tapi kita akan teruskan kerjasama ini dan harus guna kebijaksanaan supaya apa langkah diambil jangan keterlaluan," katanya.