Prabowo kagum rakyat miskin masih mampu tersenyum

Iklan
Prabowo tengah ketika merasmikan program motosikal elektrik nasional di Jawa Barat. Foto: Kompas.com.

JAKARTA - Presiden Indonesia, Prabowo Subianto meluahkan rasa kagum melihat sebahagian rakyat negaranya masih mampu tersenyum meskipun hidup dalam kemiskinan dan serba kekurangan.

Menurut Prabowo, kemiskinan masih menjadi antara cabaran besar yang perlu ditangani pemerintah, namun ketabahan rakyat berdepan kesukaran hidup menarik perhatiannya.

Iklan
Iklan

"Rakyat kita masih ramai yang miskin. Apa yang luar biasa, rakyat kita yang paling miskin pun masih boleh tersenyum.

"Mungkin mereka hanya mempunyai sepasang pakaian dan rumahnya cuma berdinding anyaman buluh. Sebab itu saya tidak faham bagaimana mereka masih boleh tersenyum," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran program motosikal elektrik nasional (Molinas) di kemudahan pengeluaran PT Ilectra Motor Group (ALVA) di Cikarang, Kabupaten Bekasi, Jawa Barat pada Khamis.

Dalam ucapannya, Prabowo turut menyentuh mengenai kedudukan Indonesia sebagai sebuah negara besar yang memiliki kekayaan sumber asli melimpah.

Iklan

Menurutnya, keluasan dan kekayaan Indonesia kadangkala menyebabkan rakyat sendiri tidak menyedari betapa besarnya potensi yang dimiliki negara itu.

"Negara kita sangat besar. Kadang-kadang kerana terlalu besar, kita sendiri tidak sedar betapa besarnya negara kita.

"Negara kita juga sangat kaya. Disebabkan terlalu banyak kekayaan yang kita miliki, kadang-kadang kita tidak sedar betapa kayanya kita," ujarnya.

Prabowo berkata, Indonesia dikurniakan sumber daya yang luar biasa, namun sebahagian daripada kekayaan itu sebelum ini sering dimanfaatkan oleh pihak asing.

Justeru, beliau menegaskan Indonesia kini perlu lebih matang dan berkeupayaan mengurus sendiri kekayaan negara supaya manfaatnya dapat dinikmati rakyat.

"Sekarang kita sudah lebih matang sebagai sebuah negara. Kita juga sudah lebih matang sebagai sebuah bangsa," katanya.

Kenyataan Prabowo itu sekali gus menonjolkan cabaran yang masih dihadapi pemerintahannya untuk memastikan kekayaan sumber asli Indonesia dapat diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup rakyat, khususnya golongan miskin. - Agensi