BESUT - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengesan ibu kandung atau waris kepada seorang bayi perempuan yang ditinggalkan di pekarangan Masjid Al-Jamhuriah, Kuala Besut di sini pada 28 Julai lalu.
Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Besut, Mohd Fadzli Ismail berkata, usaha mengesan waris dilakukan bagi membolehkan penempatan semula bayi berkenaan selepas tamat tempoh jagaan sementara pada 13 September depan.
Iklan
Iklan
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati bayi itu ditemui oleh orang awam kira-kira jam 5.25 pagi pada hari kejadian sebelum laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut.
"Mahkamah Majistret Besut sebelum ini memerintahkan supaya bayi berkenaan ditempatkan di bawah jagaan JKM mengikut Seksyen 25(2) Akta Kanak-Kanak 2001.
"Tempoh jagaan sementara itu berkuat kuasa selama sebulan bermula 10 Ogos lalu, namun sehingga kini JKM masih belum berjaya mengesan ibu kandung atau mana-mana waris bayi berkenaan," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan tampil membantu pihak berkuasa bagi membolehkan ibu kandung atau waris bayi berkenaan dikenal pasti.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pelindung Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Besut, Fatin Hanani Ishak menerusi talian 09-6956042 atau 09-6953951.