MELAKA - Parti Keadilan Rakyat (PKR) berada di ‘kelok terakhir’ untuk melengkapkan proses perubahan dan reformasi dalam negara, kata Naib Presidennya, Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata, data keputusan pilihan raya menunjukkan sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) dan PKR dalam kalangan pengundi Melayu masih mempunyai ruang untuk diperkukuhkan, selain mengekalkan sokongan masyarakat Cina dan India.
“Data-data ini memberikan satu kesedaran kepada kita. Kesedarannya apa? Kita berada dalam kelok terakhir untuk kita melengkapkan proses perubahan dan reformasi dalam negara kita.
“Hampir 30 tahun yang lalu sewaktu Datuk Seri Anwar Ibrahim mengisytiharkan perjuangan reformasi, kita tidak sangka Akta Mesin Cetak akan dihapuskan, ISA akan berubah dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) akan dihapuskan serta digantikan dengan undang-undang yang lebih menjamin kebebasan,” katanya pada Ahad.
Beliau berkata demikian pada ucapan penggulungan Kongres Nasional Keadilan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini.
Mengulas data sokongan pengundi, Menteri Besar Selangor itu berkata, PH dan PKR masih menerima sokongan majoriti masyarakat Cina, namun berlaku penurunan sokongan dalam kalangan pengundi India dan Melayu.
“Undi masyarakat Tionghua ada sedikit penurunan, tetapi kita masih lagi mendapat kepercayaan majoriti dengan 77 peratus masyarakat Tionghua memberikan sokongan kepada PH dan PKR.
“Kita harus akui ada penurunan dalam kalangan masyarakat India. Sebelum ini kita mendapat lebih 70 peratus, sekarang mungkin kurang daripada 45 peratus.
“Undi Melayu pula, dulu pada 2022 kita dapat sekitar 11 peratus dan kali ini berkurangan kepada 7.4 peratus,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, keadaan di Negeri Sembilan menunjukkan sokongan pengundi Melayu kepada PH meningkat daripada sekitar 18 peratus pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2022 kepada 21 peratus pada 2026.
Amirudin berkata, perjuangan reformasi kini memasuki fasa penting untuk memastikan politik negara berteraskan keadilan kepada semua kaum, dengan tetap menghormati Perlembagaan Persekutuan.
Ujarnya, kedudukan Melayu dan Islam sebagai asas serta agama rasmi negara perlu dihormati, namun pada masa sama keadilan perlu diberikan kepada semua rakyat termasuk masyarakat Cina, India, Kristian, Buddha dan Hindu.
Beliau berkata, PKR perlu menunjukkan pendekatan seimbang dalam menangani isu berkaitan bantuan kepada sekolah atau institusi pelbagai kaum supaya tidak mudah diperalatkan pihak tertentu.
“Kalau kita umumkan peruntukan untuk sekolah Cina, ada yang kata Melayu terabai. Kalau kita bantu sekolah India, mereka kata orang Melayu dilupakan.
“Kita kena fikir pula macam mana kita nak tunjukkan keseimbangan,” katanya.
Amirudin berkata, sekiranya tembok perkauman yang menjadi asas kepada parti-parti pesaing dapat dipecahkan, PKR berpeluang menerajui perubahan negara untuk tempoh yang panjang.
“Walaupun nampak sukar, walaupun nampak mustahil, saya yakin kita boleh lakukan.
“Kerana apa yang disebut oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, “Saya seorang pejuang.” Hari ini, marilah kita menyambut seruan itu. Kita semua adalah pejuang!” katanya.