Luahan rakyat Sabah, Sarawak mahu diesel 500 liter perlu dilaksana segera - Roland

Iklan
Roland Engan

AYER KEROH - Kerajaan disaran segera melaksanakan cadangan meningkatkan kuota diesel bersasar kepada 500 liter sebulan bagi rakyat Sabah dan Sarawak, berbanding 300 liter ketika ini.

Naib Presiden PKR, Roland Engan berkata, beliau menerima banyak mesej daripada rakan-rakan di Sabah dan Sarawak yang memaklumkan kuota 300 liter diesel ketika ini masih tidak mencukupi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, cadangan itu wajar diberi perhatian kerana kenderaan pacuan empat roda menjadi satu keperluan bagi penduduk di kedua-dua negeri berkenaan, khususnya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

“Semalam wakil pembahas Sabah, Junaidah Makku, menyentuh mengenai kuota diesel 300 liter. Jadi, ada kawan dari Sarawak dan Sabah mesej saya, 300 pun tak cukup. Sepatutnya 500 liter. Petrol bersasar ini untuk Sabah dan Sarawak.

Iklan

“Orang Sabah dan Sarawak ini mempunyai pacuan empat roda bukan sebab mereka kaya, tetapi itu satu keperluan.

“Saya dari Miri balik ke kampung halaman mengambil masa lapan jam untuk sampai ke kampung, memandu pacuan empat roda melalui jalan balak,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini pada Ahad.

Justeru, katanya, pelaksanaan kuota 500 liter bagi diesel dan petrol bersasar perlu menjadi antara agenda reformasi yang dilaksanakan kerajaan.

“Jadi reformasi sekarang, perubahan sekarang, lakukan diesel 500 (liter), petrol 500 (liter),” katanya.