AYER KEROH - Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu mula memikirkan pelapis kepimpinan yang mampu menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada masa depan, kata Naib Presiden Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata, perkara itu perlu diberikan perhatian bermula dari sekarang.
“Tetapi Datuk Seri, kita tak boleh takut untuk memikirkan masa depan. Kita sudah bercakap tentang reformasi untuk mengehadkan tempoh seseorang memegang jawatan Perdana Menteri 10 tahun," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan di Kongres Nasional Keadilan 2026 di sini pada Ahad.
Menurutnya, walaupun usaha itu belum lagi berjaya kerana tidak mendapat sokongan di Parlimen, namun secara dasarnya kuasa Perdana Menteri itu sendiri mestilah mempunyai had.
Justeru ujar beliau, pentingnya untuk parti memikirkan lebih serius tentang pelapis kepimpinan negara dan parti.
“Jangan tunggu suatu hari nanti bila Presiden kata dah sampai masanya beliau berundur, kemudian barulah kita nak cari siapa.
“Pada waktu itu saudara-saudari semua, lambat. Kita mulakan dari sekarang. Sebenarnya kita kena mulakan lama dah, mungkin 20 tahun yang lalu,” katanya.
Zaliha berkata, parti perlu mengenal pasti individu berpotensi, memberi latihan dan pendedahan, selain membuka ruang serta memberikan tanggungjawab kepada mereka untuk mengembangkan bakat.
Katanya, bakat kepimpinan boleh dicungkil daripada pelbagai peringkat termasuk cabang, Wanita PKR, Angkatan Muda Keadilan (AMK), golongan profesional, masyarakat, aktivis dan anggota biasa parti.
“Jadi apabila saya bertanya, ‘Who's next after Anwar?’, saya sebenarnya tidak mencari satu nama.
“Bukan itu maksud saya. Apa yang saya maksudkan adalah kita bina satu generasi kepimpinan yang faham tentang perjuangan reformasi, yang bersih, kompeten dan berani,” katanya.
Tambahnya, proses membina generasi kepimpinan baharu itu sepatutnya sudah bermula sejak dahulu, namun masih belum terlambat untuk dilaksanakan.
Dalam pada itu beliau memaklumkan menghormati keputusan Timbalan Presiden, Nurul Izzah Anwar yang mengambil cuti sementara.
“Namun kita berikan doa kepada beliau dan tidak perlulah kita membuat apa-apa spekulasi dan insya-ALLAH kita harap dia akan kembali, ‘come back stronger'," katanya.
Menurut Zaliha, perkembangan berkenaan menjadi peringatan bahawa sesebuah institusi perlu mampu terus berfungsi dalam apa jua keadaan.
Disebabkan itu jelas beliau, setiap organisasi tidak boleh terlalu bergantung kepada seorang atau dua individu semata-mata.
"Jawatan ada tempohnya. Kedudukan boleh berubah. Manusia juga mempunyai perjalanan masing-masing.
"Sebab itu, organisasi tidak boleh dibina sehingga terlalu bergantung kepada seorang atau dua individu semata-mata. Pemimpin ada tempohnya, tetapi perjuangan tidak bertempoh,"katanya.