KUANTAN- “Balik rumah dalam keadaan kosong. Aku rasa macam ini bukan tempat saya dah.”
Demikian luahan pilu, Saifulnizam Sulaiman, suami Nur Fatima Syuhada Abdullah, 39, dan ayah kepada, Muhamad Fattah Aisy Naufal Saifulnizam, 12, yang meninggal dunia dalam tragedi lori tangki hempap kereta sebelum terbakar di Jalan Temerloh-Triang pada Jumaat lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Nahas lori tangki dan kereta: Mangsa rentung dipercayai wanita dan anak lelaki 12 tahun
Dua beranak maut: Pemandu lori tangki direman
Menurutnya, dirinya belum mempunyai kekuatan untuk membuka media sosial atau menonton video kejadian yang tersebar.
“Saya belum ada kekuatan untuk buka lagi video-video yang ada bertebaran, belum ada kekuatan lagi. Ini tamparan yang sangat hebatlah bagi saya. Titik terendah dalam hidup saya,” katanya.
Dalam kemalangan kira-kira jam 4 petang itu, dua beranak terbabit terkorban akibat kereta dinaiki mereka dihempap lori tangki terbabit yang bermuatan 32,000 liter bahan api manakala pemandu lori hanya cedera ringan.
Dalam luahan penuh emosi itu, Saifulnizam turut menyifatkan apa yang berlaku sebagai satu ujian besar ALLAH SWT.
“ALLAH uji, ambil semula yang Dia pinjamkan pada saya.
“Saya nak ucapkan jutaan terima kasih kepada sahabat-sahabat dari jauh dan dekat,” katanya.
Perkongsian itu turut mengundang simpati orang ramai yang terus menitipkan doa agar dia diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi kehilangan besar tersebut.