Kerajaan tidak bercadang kawal media seperti dahulu - Fahmi

Iklan
Fahmi

AYER KEROH - Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan kementerian itu tidak bercadang mengawal media seperti mana yang didakwa berlaku di bawah kerajaan terdahulu.

Beliau berkata, kerajaan ketika ini tidak mahu mengulangi tindakan atau pendekatan seumpama itu yang dianggap sebagai sesuatu yang tidak wajar terhadap media.

Iklan
Iklan

"Adakah kita mahu mengulangi kezaliman seperti itu? Sudah pasti tidak...Kita bukan dalam 'mood' mengawal media," katanya ketika ucapan penggulungan di Kongres Nasional Keadilan 2026 di sini pada Ahad.

Bagaimanapun Ketua Penerangan PKR itu berkata, sekiranya didapati terdapat maklumat tidak benar yang dilaporkan, pihaknya akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada syarikat media terbabit.

Iklan

"Sekiranya ada sebarang maklumat yang tidak benar, maka kita akan berurusan dengan media secara tertib dan beradab untuk maklumkan bahawa perlu buat sedikit perubahan.

"Ini berbeza. Saya boleh beritahu dalam kalangan rakan-rakan media mereka mengatakan berbeza zaman sekarang dengan zaman dulu. Zaman dulu, mereka akan diarah... tapi sekarang kita tidak buat begitu," katanya.

Iklan

Dalam pada itu beliau memaklumkan, setakat semalam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengenal pasti dan menurunkan lebih 8,410 akaun palsu yang bermain isu 3R.

Jelasnya, kebanyakan daripada kandungan tersebut menyentuh emosi dengan menggunakan modus operandi menghasilkan akaun palsu seolah-olah ia adalah orang sebenar.