KOTA BHARU - Berat badan mencecah kira-kira 250 kilogram (kg) menyebabkan urusan membawa seorang pesakit obesiti berusia 49 tahun pulang ke rumahnya di Kampung Chiku 3, Gua Musang selepas discaj dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) memerlukan bantuan khas Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Bharu.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Bharu, Mejar (PA) Mohd Arif Mohd Zin berkata, khidmat khas itu dilaksanakan bagi membantu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan keluarga pesakit menguruskan proses pemindahan dari hospital ke kediamannya dengan selamat.
Menurut beliau, operasi berkenaan membabitkan sembilan anggota APM termasuk seorang pegawai, selain dibantu penduduk setempat.
"Kerjasama penduduk setempat turut membantu anggota APM dalam proses mengangkat dan memindahkan pesakit," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Ujar beliau, khidmat khas itu dilaksanakan bagi memastikan proses pemindahan pesakit dapat dilakukan secara teratur, selamat dan lancar.
Mohd Arif turut merakamkan penghargaan kepada penduduk setempat yang memberikan kerjasama serta membantu anggota APM sepanjang operasi berkenaan.
Ujarnya, APM akan terus komited membantu agensi kerajaan dan masyarakat menerusi tugas bantuan kemanusiaan secara cekap, pantas dan berkesan.