Ratusan pelajar keracunan, lauk percuma didakwa berbau busuk

Iklan
Ratusan pelajar SMA Negeri 1 Berastagi, Karo, Sumatera Utara dipercayai mengalami keracunan selepas menikmati hidangan makanan berkhasiat percuma. Foto: Agensi

SUMATERA UTARA – Seorang pelajar mendakwa terhidu bau busuk daripada makanan Program Makanan Berkhasiat Percuma (MBG) sebelum ratusan pelajar Sekolah Menengah Atas (SMA) Negeri 1 Berastagi, Karo di sini dipercayai mengalami keracunan.

Pelajar sekolah berkenaan, Aldy Prayoga berkata, bau kurang menyenangkan itu dikesan sebaik sahaja bekas makanan yang diterimanya dibuka ketika waktu makan tengah hari pada Khamis lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bau seperti busuk datang daripada lauk ikan, manakala sambal dan daging pula terasa masam ketika mula dimakan.

Katanya, sebelum ini makanan yang disediakan Unit Perkhidmatan Pemakanan (SPPG) Sempajaya tidak pernah menimbulkan masalah kepada pelajar mahupun guru.

Iklan

“Baru kali ini (kejadian seperti ini berlaku). Selama ini makanan (yang disajikan kepada pelajar) semuanya selamat,” ujarnya.

Selepas menikmati makanan berkenaan, Aldy mula mengalami kegatalan pada bahagian tekak sebelum pening dan sakit perut yang semakin teruk beberapa jam kemudian.

Iklan

Katanya, sakit yang dialami ketika berada di sekolah masih boleh ditahan, namun keadaannya bertambah teruk selepas pulang ke rumah sehingga dia dibawa mendapatkan rawatan di hospital daerah Kabanjahe.

Susulan itu, guru sekolah tersebut segera mengarahkan pelajar yang sudah atau belum menikmati makanan MBG supaya menghentikan pengambilan makanan berkenaan selepas beberapa pelajar mula menunjukkan gejala keracunan.

Aldy yang mendapatkan rawatan di unit kesihatan sekolah (UKS) turut melihat beberapa rakannya mengalami keadaan lebih serius termasuk kejang anggota badan sehingga memerlukan bantuan perubatan. – Agensi