Haluan politik berbeza, hubungan dengan Akmal tetap baik – Solehin

Iklan
Dr Muhammad Solehin bersama Pengasas Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli pada Majlis Pengumuman Calon Bersama PRN Melaka di Batu Berendam pada Sabtu.

MELAKA - Keputusan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka melalui jalur politik berbeza di bawah Parti Bersama Malaysia (Bersama) tidak menjejaskan hubungan adik-beradik antara Dr Muhammad Solehin Saleh dengan Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

Dr Muhammad Solehin berkata, beliau dan Dr Akmal yang juga Ketua Pemuda UMNO itu sentiasa berhubung selain kerap berbincang mengenai perjalanan politik masing-masing.

Iklan
Iklan

"Saya tak nak menyentuh hal peribadi sebab saya dengan dia sangat rapat, kami okey, kami tak ada apa permasalahan.

"Politik bukannya agama. Hubungan adik-beradik lebih penting berbanding politik," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas diumumkan calon DUN Bembam pada Pengumuman Calon Bersama PRN Melaka di Batu Berendam di sini pada Sabtu.

Justeru Dr Muhammad Solehin menafikan dakwaan sesetengah pihak beliau mempunyai hubungan tidak baik dengan adiknya itu.

Iklan

"Kami sangat baik. Anak dia anak saya, anak saya anak dia. Mak turut hadir untuk beri sokongan.

"Walaupun orang kata di luar atau media kata-kata saya bergaduh, tak. Kami tak bergaduh, kami sangat baik. Dia adik yang baik, saya pun abang yang baik. Semua okey," katanya.

Dr Muhammad Solehin yang juga bekas Ahli Majlis Perbandaran Jasin berkata, beliau diberi amanah untuk membawa nama Bersama bertanding di Bemban dan menawarkan harapan baharu kepada rakyat Melaka.

Beliau dijangka bertanding di DUN Bemban dan sudah mula melakukan gerak kerja bagi mendekati masyarakat di kawasan berkenaan.

Dr Muhammad Solehin turut memaklumkan, pernah bersama Akmal melakukan kerja kemasyarakatan menerusi aktiviti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum adiknya itu aktif dalam politik.

"Sebenarnya, saya dah bergerak politik lebih kurang sama dengan dia, tapi saya bukannya dalam parti yang sama.

"Sebelum ini saya di Amanah dan telah meletakkan jawatan. Di Merlimau, di Bemban, kami sama-sama membantu. Kami banyak buat kerja NGO.

"Akmal pun sebelum berpolitik, kami membuat kerja NGO. Jadi tak ada masalah siapa shadow siapa. Kami nak berkhidmat. Mana yang terbaik, rakyat boleh menilai dan memilih," katanya.