SETIAP masyarakat mempunyai tradisi makanan tersendiri dan sesuatu yang dianggap pelik oleh sesetengah orang mungkin menjadi hidangan istimewa dalam budaya lain.
Daripada bahan unik hingga kaedah penyediaan luar biasa, setiap hidangan mempunyai kisah dan warisan tersendiri.
1. Hákarl (Iceland)
Daging jerung Greenland yang diperam selama beberapa minggu atau sehingga beberapa bulan sebelum dikeringkan. Proses ini penting untuk mengurangkan sebatian semula jadi yang menjadikan daging jerung mentah tidak sesuai dimakan. Hákarl terkenal dengan bau ammonia yang kuat dan rasa yang tajam.
2. Fugu (Jepun)
Ikan buntal yang terkenal kerana mengandungi tetrodotoksin iaitu toksin yang sangat berbahaya. Bahagian tertentu ikan perlu dibuang dengan teliti dan penyediaannya tertakluk kepada peraturan ketat di Jepun. Walaupun berisiko, fugu dianggap makanan istimewa dan lazimnya disediakan secara hirisan nipis seperti sashimi.
3. Balut (Filipina)
Telur itik yang disenyawakan dan mengandungi embrio yang telah berkembang sebelum direbus dan dimakan terus dari kulitnya. Hidangan jalanan ini lazimnya dinikmati bersama garam, cuka atau perasa lain dan menjadi sebahagian daripada budaya makanan Filipina.
4. Sannakji (Korea Selatan)
Sotong kurita mentah yang dipotong kecil dan dihidangkan segera. Sesungutnya masih boleh bergerak ketika berada di atas pinggan kerana tindak balas saraf dan otot berterusan selepas dipotong. Hidangan ini biasanya dimakan bersama minyak bijan.
5. Telur abad (China)
Telur itik, ayam atau puyuh yang diawet selama beberapa minggu atau bulan menggunakan campuran bahan seperti garam dan bahan beralkali. Proses itu mengubah putih telur menjadi jeli lut sinar dan kuning telur menjadi lebih gelap serta berkrim.
6. Tarantula goreng (Kemboja)
Labah-labah tarantula digoreng dan dimakan sebagai snek. Hidangan ini mendapat tempat dalam budaya makanan Kemboja. Kini, ia turut menjadi makanan yang menarik perhatian pelancong.
7. Casu marzu (Itali)
Keju tradisional dari Sardinia yang diperam menggunakan larva lalat keju.
Larva membantu menguraikan lemak dalam keju sehingga menghasilkan tekstur yang sangat lembut dan rasa yang kuat. Keju ini terkenal kerana larvanya masih hidup ketika produk tersebut dimakan.
8. Cuy (Peru)
Marmut (tikus belanda) yang biasanya dipanggang dan menjadi hidangan tradisional masyarakat Andes. Cuy bukan sekadar makanan malah mempunyai nilai budaya dan sering dikaitkan dengan perayaan serta majlis istimewa di beberapa kawasan Peru.
9. Kiviak (Greendland)
Hidangan tradisional masyarakat Inuit yang dihasilkan dengan memeram burung laut kecil di dalam kulit anjing laut selama beberapa bulan. Kaedah ini digunakan sebagai cara mengawet makanan dalam persekitaran Artik yang sukar mendapatkan bekalan makanan segar sepanjang tahun.
10. Surströmming (Sweden)
Ikan hering Baltik yang diperam sebelum dimasukkan ke dalam tin. Hidangan ini terkenal dengan bau yang sangat menyengat apabila tin dibuka hingga terpaksa dinikmati di luar rumah. Walaupun baunya agak kuat, ia merupakan sebahagian daripada tradisi makanan Sweden.
Sumber: Rough Guides, Condé Nast Traveler, Falstaff, Chiyo Family