El-Sayed gegarkan kem pro-Israel AS

Iklan
El-Sayed berucap pada perhimpunan kempen pilihan raya umum Parti Demokrat Michigan di Detroit.

KEMENANGAN Dr Abdul El-Sayed dalam pemilihan Parti Demokrat bagi kerusi Senat Amerika Syarikat (AS) di Michigan mengejutkan landskap politik negara itu apabila calon progresif berkenaan berjaya menewaskan pencabarnya yang mendapat sokongan kelompok elit parti dan kumpulan berpengaruh pro-Israel.

El-Sayed, seorang pakar kesihatan awam, meraih kemenangan tipis dalam pemilihan pada Selasa, sekali gus melayakkan beliau bertanding pada Pilihan Raya Umum November untuk merebut kerusi Senat yang bakal ditinggalkan Senator Gary Peters.

Iklan
Iklan

Kemenangan itu dianggap penting kerana El-Sayed berdepan saingan hebat daripada anggota Kongres, Haley Stevens yang mendapat sokongan tokoh kanan Parti Demokrat termasuk Gabenor Michigan Gretchen Whitmer, bekas Senator Debbie Stabenow dan Ketua Minoriti Senat, Chuck Schumer.

Abdul El-Sayed

Iklan

Beliau turut berdepan saingan kempen bernilai puluhan juta dolar yang dilancarkan kumpulan berkepentingan termasuk Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Israel Amerika (AIPAC).

Menerusi ucapan selepas kemenangannya, El-Sayed mengingatkan penyokongnya mengenai cabaran besar yang dihadapi sepanjang kempen.

Iklan

Beliau berkata, kempen berkenaan berdepan perbelanjaan kira-kira AS$70 juta (RM285 juta) daripada pihak lawan, namun masih berjaya mempertahankan sokongan pengundi.

Kemenangan itu turut mendapat perhatian Senator Bernie Sanders yang menyifatkannya sebagai antara kemenangan paling luar biasa dalam politik moden AS.

Cabaran belum berakhir

Kemenangan dalam pemilihan parti itu bagaimanapun bukan penamat perjalanan El-Sayed.

Beliau kini bakal berdepan bekas anggota Kongres daripada Parti Republikan, Mike Rogers pada pilihan raya umum November.

Rogers mendapat sokongan Presiden Donald Trump dan dijangka turut menerima sokongan kumpulan pro-Israel.

AIPAC juga memberi isyarat akan meneruskan kempen menentang El-Sayed menjelang pilihan raya umum.

Dalam kenyataannya, kumpulan itu menyifatkan pendirian El-Sayed terhadap Israel sebagai terlalu radikal dan menggesa pengundi Michigan menolak pencalonannya.

Namun, penyokong El-Sayed melihat kemenangan itu sebagai tanda bahawa pengundi Demokrat semakin terbuka kepada calon yang mencabar kepimpinan tradisional parti.

Anggota Dewan Undangan Negeri Michigan, Alabas Farhat berkata, kemenangan tersebut menunjukkan pengundi tidak lagi semata-mata memilih individu berdasarkan sokongan kelompok elit atau tokoh politik terkenal.

Menurutnya, pengundi kini mahukan calon yang menawarkan perubahan dan penyelesaian terhadap masalah kehidupan seharian, khususnya kos sara hidup serta akses kepada penjagaan kesihatan.

Kempen El-Sayed sendiri banyak memberi tumpuan kepada isu kemampuan rakyat, peluasan akses penjagaan kesihatan dan pengurangan pengaruh wang dalam politik.

Slogan kempennya ialah 'hapuskan pengaruh wang dalam politik, salurkan wang kepada rakyat. Medicare untuk semua'.

Isu perang dan sokongan AS terhadap Israel turut menjadi antara perkara utama diperjuangkan beliau sepanjang kempen terutamanya dalam kalangan pengundi progresif dan komuniti Arab serta Islam di Michigan.

Abdul El-Sayed (tengah) bersama isterinya, Sarah Jukaku selepas sidang media mengisytiharkan kemenangan pada pemilihan awal parti di Detroit.

El-Sayed berulang kali menggesa kerajaan AS mengutamakan keperluan rakyat berbanding perbelanjaan ketenteraan.

Penyokongnya melihat keputusan pemilihan itu sebagai petunjuk bahawa sebahagian pengundi semakin kecewa dengan pendekatan politik arus perdana dan mahukan perubahan lebih besar dalam Demokrat.

Michigan yang berpopulasi lebih 10 juta penduduk juga mempunyai kepentingan politik besar kerana negeri itu dianggap sebagai antara negeri penentu dalam pilihan raya AS. - Agensi