KEMAMAN - Polis menyiasat pemilik akaun Facebook menggunakan nama 'Ahmad Mu’min' berhubung hantaran mengandungi unsur hasutan dan penghinaan terhadap institusi dirja, kerajaan Malaysia dan agensi kerajaan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, pihaknya menerima laporan berhubung isu berkenaan daripada seorang lelaki jam 11.14 pagi pada Sabtu.
Menurut beliau, siasatan kini dimulakan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKMM).
"Polis akan menyiasat identiti pemilik akaun berkenaan dan seterusnya melaksanakan proses siasatan mengikut saluran undang-undang.
"Orang ramai dinasihatkan agar bertenang apabila membaca hantaran di mana-mana media sosial, mengesahkan maklumat terlebih dahulu dan sentiasa rasional sewaktu memberikan hujah di ruangan komen.
"Hantaran berbentuk hasutan yang boleh menimbulkan suasana tegang serta tidak harmoni dalam masyarakat perlu dielakkan sama sekali," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Mohd Razi turut menepis dakwaan pemilik akaun berkenaan berhubung tindakan polis semasa Operasi Bersepadu yang dijalankan di Pantai Penunjuk, Kijal pada jam 6.30 petang, Jumaat.
Jelas beliau, operasi itu dilaksanakan berikutan aduan awam berkaitan kes lumba haram dan gangguan ketenteraman oleh kumpulan motosikal.
"Kenyataan tersebut berniat jahat dan direka untuk mencetuskan rasa benci terhadap pihak polis," katanya.
Tambah beliau, pihak polis menjalankan siasatan berlandaskan undang-undang sedia ada tanpa memihak kepada mana-mana individu atau kumpulan.
Sementara itu, beliau turut memberikan kemas kini berhubung dua kes berasingan di daerah tersebut.
Katanya, bagi kes di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang melibatkan mangsa Orang Kurang Upaya (OKU), kesemua lima suspek masih berada dalam tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tataacara Jenayah (KPJ).
"Kertas siasatan kini dalam proses untuk dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri.
"Manakala bagi kes di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan, dua lagi suspek masih ditahan reman sehingga 17 Ogos ini bagi membantu pihak polis melengkapkan siasatan," ujarnya.
Pada masa sama, Mohd Razi menggesa masyarakat, khususnya di daerah Kemaman supaya sentiasa menyemak kebenaran maklumat daripada pelbagai sumber bagi mengelak sebarang tindakan menyalahi undang-undang.