IPOH - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) menafikan dakwaan kononnya meminta peniaga di sebuah tapak perniagaan milik agensi itu di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di sini supaya mengosongkan premis berkenaan seperti yang tular di media sosial.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, notis yang dikeluarkan kepada peniaga berkenaan tidak menyatakan arahan supaya mereka berhenti berniaga atau mengosongkan tapak.
Menurutnya, notis itu dikeluarkan bagi memaklumkan tanggungjawab MAIPk sebagai pemilik tanah selepas hak milik tanah berkenaan diserahkan kepada agensi itu pada 2024.
"Isu ini timbul apabila satu notis dikeluarkan kepada para peniaga, sedangkan notis itu tidak menyatakan bahawa peniaga perlu berhenti berniaga atau mengosongkan tapak.
"Kita hanya mengeluarkan notis untuk memaklumkan tanggungjawab MAIPk kerana hak milik tanah telah dikeluarkan kepada MAIPk pada 2024," katanya kepada pemberita.
Beliau ditemui selepas menghadiri Konvensyen Jawatankuasa Kariah Masjid Negeri Perak Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Casuarina Ipoh pada Sabtu.
Syamsul Hazeman berkata, MAIPk bagaimanapun mewarisi masalah lama membabitkan kebocoran paip utama dan tunggakan bekalan air yang mencecah hampir RM100,000.
Katanya, tunggakan itu bukan berpunca daripada peniaga kerana mereka mempunyai bil bekalan air sendiri dan hanya membayar berdasarkan penggunaan.
"Yang bermasalah ialah saluran utama yang membekalkan air kepada peniaga. Paip itu sudah lama rosak dan berlaku kebocoran, malah masalah berkenaan berlaku sebelum MAIPk menerima hak milik tanah tersebut.
"Apabila kita menerima hak milik pada 2024, liabiliti itu turut berpindah kepada MAIPk dan kita perlu mencari jalan untuk menyelesaikannya," katanya.
Beliau berkata, perbincangan dengan Lembaga Air Perak (LAP) sedang dilakukan bagi mencari penyelesaian terhadap tunggakan berkenaan, namun proses itu mengambil masa kerana melibatkan jumlah yang besar.
Katanya, MAIPk juga tidak boleh menggunakan sumber zakat atau wakaf untuk membayar tunggakan berkenaan kerana ia bukan peruntukan yang boleh digunakan bagi tujuan tersebut.
"Jadi kita kena berhati-hati. Kita sudah berbincang dengan kerajaan negeri dan perkara ini turut dimaklumkan kepada pejabat Menteri Besar Perak bagi mencari jalan penyelesaian.
"Kalau kita berjaya selesaikan tunggakan itu, kita akan membaiki kerosakan dan memulakan semula urusan dengan peniaga menerusi kontrak sewaan baharu pada kadar yang munasabah," katanya.
Syamsul Hazeman berkata, MAIPk turut mengadakan sesi libat urus bersama peniaga pada 14 Julai lalu bagi menjelaskan keadaan sebenar, termasuk keperluan memutuskan bekalan air sementara sebelum kerja pembaikan dapat dilakukan.
Menurutnya, terdapat 14 peniaga aktif yang berdaftar dalam rekod MAIPk manakala keseluruhan tapak itu mempunyai 24 unit gerai.
Beliau berkata, MAIPk sentiasa terbuka untuk berbincang dengan peniaga terutama sekiranya masalah berkenaan menjejaskan sumber pendapatan mereka.
"Kita tidak berniat untuk menganiaya sesiapa. Dalam perjumpaan pada 14 Julai, kita sudah maklumkan sekiranya mereka menghadapi masalah berkaitan punca pendapatan, mereka boleh datang semula kepada kita dan kita akan cuba mencari penyelesaian.
"Pada ketika ini MAIPk menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai pemilik tanah baharu. Tidak ada istilah kita menghalau atau meminta peniaga mengosongkan tapak," katanya.
Terdahulu tular di aplikasi Thread mendakwa beberapa peniaga di tapak berkenaan diarah mengosongkan kawasan tersebut bagi memberi laluan kepada projek pembinaan bangunan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).
Menerusi beberapa hantar tular itu beberapa pengguna turut mengeluarkan perkataan kesat terhadap MAIPk berhubung isu berkenaan.
TAMAT