Insiden serangan harimau: Penduduk takut, gesa tindakan segera elak kejadian berulang

Iklan
Kesavan (kanan) turut memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Ngah di pekarangan Masjid Jamek An Nur Hidayatul Muttaqin, Kampung Bawong di sini pada Khamis.

SUNGAI SIPUT - Penduduk Kampung Bawong di sini dilanda kebimbangan dan trauma susulan kejadian seorang lelaki maut diserang harimau ketika mencari hasil hutan pada Rabu.

Tok Batin Orang Asli Kampung Bawong, Jeffridi Abas berkata, kejadian itu merupakan insiden pertama seumpamanya berlaku di kampung berkenaan sepanjang hampir 13 tahun beliau memegang jawatan sebagai ketua masyarakat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan hampir keseluruhan penduduk takut untuk memasuki kawasan hutan kerana bimbang berdepan ancaman haiwan pemangsa berkenaan.

"Saya sebagai ketua masyarakat amat berharap kerajaan mengambil tindakan segera supaya kejadian seperti ini tidak berulang pada masa akan datang," katanya ketika ditemui di pekarangan Masjid Jamek An Nur Hidayatul Muttaqin, Kampung Bawong di sini pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata, kebanyakan penduduk kampung yang mempunyai lebih 500 orang itu bergantung kepada hasil hutan sebagai sumber pendapatan utama.

Katanya, dianggarkan 80 hingga 90 peratus penduduk mencari rezeki dengan mengutip hasil hutan termasuk buluh dan rotan, selain mengusahakan kebun getah serta kelapa sawit.

Iklan

Menurutnya, aktiviti menoreh getah dan mencari hasil hutan lazimnya dilakukan setiap hari, malah ada penduduk yang keluar seawal jam 2 atau 3 pagi sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, insiden serangan harimau yang berlaku di Kampung Takong, Pos Perwor pada 21 September lalu menyebabkan penduduk mula mengehadkan aktiviti ke hutan dan hanya keluar sekitar jam 9 atau 10 pagi.

"Penduduk ingatkan kejadian sebelum ini tidak akan berulang tetapi sekarang berlaku lagi di kampung kami.

"Justeru, saya sudah menasihatkan penduduk supaya buat sementara waktu tidak memasuki hutan dan duduk di rumah dahulu sehingga keadaan kembali tenang," katanya.

Jeffridi berkata, beliau berharap satu pertemuan khas diadakan membabitkan ketua masyarakat Orang Asli, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta polis bagi membincangkan langkah penyelesaian.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan berkata, insiden berkenaan merupakan kejadian kedua membabitkan serangan harimau yang mengorbankan masyarakat Orang Asli di kawasan itu dalam tempoh kira-kira dua bulan.

Menurutnya, kejadian pertama berlaku pada 21 September lalu di Kampung Takong, Pos Perwor.

Beliau berkata, kebimbangan penduduk perlu diberi perhatian serius memandangkan mereka bergantung kepada kawasan hutan untuk mendapatkan sumber pendapatan bagi menyara keluarga.

"Saya akan membawa suara dan kebimbangan masyarakat Orang Asli ini ke Dewan Rakyat serta meminta perhatian kementerian berkaitan untuk mencari jalan penyelesaian.

"Kita bimbang sekiranya kejadian seperti ini berulang dalam masa terdekat, lebih-lebih lagi penduduk masih perlu keluar mencari buluh, rotan dan hasil hutan lain untuk meneruskan kehidupan," katanya.

Kesavan berkata, beliau berharap Perhilitan meningkatkan pemantauan secara berterusan serta mengambil langkah segera termasuk memasang perangkap bagi memastikan harimau yang dipercayai berkeliaran di kawasan berkenaan dapat ditangkap.

Beliau turut memaklumkan akan meminta Perhilitan mengadakan satu mesyuarat khas selepas persidangan Dewan Rakyat berakhir pada 8 Disember ini bagi membincangkan ancaman harimau serta langkah pencegahan lebih menyeluruh.

Dalam pada itu, beliau telah menyampaikan bantuan ihsan kepada keluarga mangsa bagi meringankan beban yang ditanggung.

Katanya, keluarga mangsa turut berkemungkinan menerima pampasan kerajaan menerusi Perhilitan berdasarkan peruntukan bantuan kepada mangsa ancaman hidupan liar.

Terdahulu media melaporkan seorang lelaki Orang Asli maut selepas dipercayai diserang harimau ketika mencari buluh di kawasan hutan Lata Serai Kampung Bawong di sini pada Rabu.

Mangsa, Ngah Itam, 65, merupakan seorang bapa tunggal dan mempunyai lima orang anak.