IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita 193 unit alat ganti kenderaan berat pelbagai jenis yang disyaki tiruan dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di Kawasan Perindustrian IGB, di sini pada Rabu.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan menerusi operasi membanteras penjualan dan pengedaran barangan tiruan itu dilakukan susulan aduan serta maklumat daripada wakil pemilik cap dagangan.
Menurutnya, pemeriksaan di premis berkenaan menemukan alat ganti kenderaan berat pelbagai jenis yang dipercayai menggunakan cap dagangan berdaftar tanpa kebenaran.
"Wakil syarikat pemilik cap dagangan turut melakukan pengesahan awal terhadap barangan terbabit sebelum tindakan sitaan dilakukan.
"Kesemua barangan bersama dokumen berkaitan disita untuk siasatan lanjut dan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM26,165," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Kamalludin berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 kerana disyaki memiliki barangan yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar bagi tujuan perdagangan atau pengilangan.
Katanya, jika disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 bagi setiap barang atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan berulang, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 bagi setiap barang atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.
Sementara itu, beliau berkata, syarikat yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM15,000 bagi setiap barang, manakala kesalahan berulang boleh dikenakan denda maksimum RM30,000 bagi setiap barang.
Menurut Kamalludin, KPDN memandang serius usaha membanteras penjualan barangan tiruan bagi melindungi hak pengguna serta pemilik cap dagangan.
Katanya, pemantauan dan risikan berterusan akan dipertingkatkan terhadap premis yang menjual barangan berjenama bagi membendung kegiatan berkenaan seterusnya meningkatkan keyakinan pelabur asing khususnya di Perak.