‘Bos Gendut’ akhirnya dicekup ketika jalani rawatan sedut lemak

Iklan
Suspek ketika ditahan sedang menjalani rawatan sedut lemak. Foto tular Kompas.Com.

JAKARTA - Seorang tokan dadah terkenal dengan gelaran ‘Bos Gendut’ dicekup ketika sedang menjalani rawatan sedut lemak di sebuah klinik kecantikan di Jakarta Barat.

Suspek dikenali sebagai MR itu merupakan antara tokan dadah besar di Kampung Bahari, Jakarta Utara dan telah diburu Badan Narkotika Nasional (BNN) Indonesia sejak tahun lalu.

Iklan
Iklan

Pengarah Penindakan dan Pengejaran BNN, Brigjen Roy Hardy Siahaan berkata, pihaknya menahan MR di premis berkenaan pada Khamis.

“Ketika kami menangkap MR, dia berada di sebuah klinik kecantikan di Mangga Besar.

Iklan

“Dia sedang menjalani rawatan sedut lemak di salah sebuah klinik,” katanya.

Rakaman video penahanan menunjukkan beberapa anggota BNN memasuki premis tersebut sebelum meminta kakitangan menunjukkan lokasi suspek.

Iklan

Anggota kemudian menemukan MR yang memakai pakaian pesakit berwarna merah jambu sedang berbaring di atas meja rawatan.

Penahanan itu merupakan sebahagian operasi susulan kes pengedaran 98 kilogram (kg) syabu yang dibongkar BNN pada 2025.

MR disenaraikan sebagai buruan BNN sejak 7 November tahun lalu.

Selepas ditahan, suspek dibawa ke Kampung Bahari bagi membantu pihak berkuasa mengesan bahan bukti berkaitan kegiatan pengedaran dadah.

Dadah, senjata api dan kenderaan mewah yang disita BNN dalam operasi di Kampung Bahari, Jakarta Utara. - Foto tular Detikcom.

Bagaimanapun, operasi di kawasan tersebut mendapat tentangan daripada penyokong MR sebelum dua individu yang dipercayai pengikutnya turut ditahan.

BNN merampas beberapa bahan bukti termasuk dadah jenis ganja atau Gorilla, wang tunai, senjata api, pedang samurai dan sejumlah peluru.

Pihak berkuasa turut menyita aset milik MR bernilai kira-kira 39 bilion rupiah (RM8.5 juta) selain wang tunai sebanyak 1.27 bilion rupiah (RM291,000), sebuah kereta BMW dan motosikal Vespa.

BNN ketika melakukan operasi di lokasi kediaman 'Bos Gendut'. - Foto tular Detikcom

Suspek turut berdepan siasatan berkaitan kesalahan pengubahan wang haram. - Agensi