Buruh binaan ‘jerat’ pari, sambar RM5,000

Iklan
Hanifah (dua dari kanan) bersama Mohd Azri Nizam (tengah) dan pemenang pertandingan memancing JJPT di Pantai Senok pada Sabtu.

KOTA BHARU – Tangkapan ikan pari seberat 1.312 kilogram (kg) membawa kemenangan kepada Mohd Azri Nizam Azman, 25, apabila muncul juara pertandingan memancing Jelajah Joran Pantai Timur (JJPT) sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 di Pantai Senok di sini pada Sabtu.

Anak jati Tumpat itu menaikkan ikan berkenaan pada jam 11.18 pagi sekali gus menewaskan lebih 200 peserta lain dan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000.

Iklan
Iklan

Kemenangan itu merupakan kejayaan kedua Mohd Azri sepanjang menyertai pertandingan memancing dan dianggap cukup bermakna menjelang sambutan Maulidur Rasul.

“Alhamdulillah, kemenangan ini menjadi hadiah bermakna buat saya, lebih-lebih lagi kita akan menyambut Maulidur Rasul pada minggu hadapan.

Iklan

Mohd Azri yang bekerja sebagai buruh binaan berkata, sebahagian wang kemenangan itu akan disimpan sebagai persediaan untuk melangsungkan majlis pertunangannya yang dirancang pada tahun depan.

Menurutnya, bakal tunangnya turut hadir pada pertandingan berkenaan bagi memberikan sokongan moral kepadanya.

Iklan

Sementara itu, tempat kedua menjadi milik Mohd Azizul Nik Ahmad, 37, selepas menaikkan ikan mayong seberat 1.051kg dan membawa pulang RM700.

Sebahagian peserta yang menyertai pertandingan memancing JJPT di Pantai Senok pada Sabtu.

Mohd Hafizi Mustapa, 36, pula menduduki tempat ketiga menerusi tangkapan ikan gerut-gerut seberat 0.931kg sekali gus menerima RM500.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Pengarah Projek Kelab Pemancing Pantai Barat (WCS), Hanifah Salam.

Turut hadir, Pengerusi Persatuan Joran Pantai Kelantan, Roslan Hussin.

Dalam pada itu, Hanifah berkata, pertandingan JJPT akan diteruskan pada tahun depan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2027 susulan sambutan menggalakkan daripada peserta.

Menurutnya, pertandingan kali ini turut menarik penyertaan pemancing dari beberapa negeri di luar Kelantan.

“Ramai peserta dari luar Kelantan menyertai acara ini. Antaranya datang dari Kedah, Perlis, Terengganu, Pahang dan Melaka,” katanya.