ROMPIN – Identiti tiga sekeluarga maut dalam kebakaran sebuah rumah di Desa Mawar 2, Muadzam Shah, awal pagi tadi sudah dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, mangsa ialah Mohd Kahurolaizam Mokhtar, 42, isterinya, Siti Zaleha Aluha, 31, serta anak bongsu mereka, Muhamad Putra Rayqal, 4.
Beliau berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4 pagi itu mengorbankan Mohd Kahurolaizam yang mengalami kecederaan akibat kebakaran dan meninggal dunia di hadapan rumah.
ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi awal pagi, tiga sekeluarga maut
Isteri, anak rentung dalam bilik, suami ditemui maut dalam longkang
“Manakala isteri serta anak bongsu mangsa ditemui rentung di dalam sebuah bilik.
“Dua lagi anak lelaki pasangan itu masing-masing berusia 10 dan 16 tahun terselamat dalam kejadian,” katanya menerusi kenyataan.
Dalam pada itu, sebuah rumah yang terletak bersebelahan kediaman mangsa turut terbakar.
Menurut Sharif Shai, rumah berkenaan dihuni seorang lelaki berusia 35 tahun bersama isterinya dan empat anak mereka.
Bagaimanapun, kesemua penghuni rumah terbabit berjaya menyelamatkan diri.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nordin Pauzi berkata, siasatan awal mendapati api dipercayai bermula dari sebuah bilik di rumah mangsa.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran, termasuk memeriksa sistem pendawaian elektrik di kediaman berkenaan.
“Antara fokus siasatan ialah sistem pendawaian elektrik di kediaman mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Nordin berkata, kebakaran turut memusnahkan sebuah motosikal dan sebuah kereta milik mangsa.