KUALA TERENGGANU -"Event Full Marathon boleh tutup jalan negeri dan persekutuan selama 12 jam okay je. Kenapa kami tak boleh. Kami pembayar roadtax. Runner bayar roadtax juga ke?.
Demikian kata Pengarah Program RXZ Members, Mohd Lukhman Hassan berkenaan isu cadangan penutupan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) bagi memberi laluan kepada penganjuran perhimpunan berkenaan pada masa akan datang.
Sebelum ini, media melaporkan Penganjur RXZ Members akan membuat permohonan kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) agar Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dan LPT2 ditutup seketika untuk memberi laluan kepada peserta program berkenaan pada masa datang.
Menurut Mohd Lukhman, perkara tersebut merupakan antara cadangan penambahbaikan yang dikemukakan pihaknya ketika sesi libat urus bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada Khamis.
Jelasnya, pihak LLM yang pada asalnya mencadangkan perkara berkenaan sebelum pihaknya menyambutnya secara berseloroh.
Mengulas isu cadangan pendaftaran peserta bersama gambar kenderaan pula, beliau memberitahu pihaknya terbuka menerima cadangan berkenaan namun berdepan kekangan dari segi kemampuan kelulusan spesifikasi.
"Cadangan pendaftaran bersama gambar, kami okay (setuju). Terima cadangan, tapi kemampuan untuk meluluskan spesifikasi kenderaan yang boleh daftar dan tak boleh daftar kami tiada. Kalau ada pihak yang nak tolong, boleh saja.
"Select (pilih) 100,000 pendaftaran kalau tak lulus komen terus apa yang perlu diubah kemudian follow up sentiasa rider tersebut sehingga lulus. Sebab itu sesi libat urus diperlukan lagi selepas ini jika ingin melaksanakan. Macam nok (nak) masuk Puspakom sekmung (awak) lepas ni kena booking," ujarnya.
Dalam hantaran sama, beliau turut menegaskan pendirian prinsip penganjur serta komuniti berkenaan dalam mendepani pelbagai reaksi awam.
"Satu saja nk ingatkan, kami bangsa Rxz. Menunduk tanda hormat. Tapi tidak membenarkan orang memijak. Jika dipijak, kami pasti melawan.
"Kami hanya boleh dibeli dengan respect (penghormatan) dan juga 'malu mato', Tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Kalau pound sterling mungkin Man amik," tulisnya berseloroh.