Pemansuhan AUKU kemenangan penting gerakan mahasiswa - AMK

Iklan
MUHAMMAD KAMIL

SHAH ALAM - Keputusan kerajaan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) membuka ruang kepada reformasi pendidikan tinggi yang lebih menyeluruh, termasuk memperkukuh autonomi universiti dan kebebasan bersuara, selain memberi lebih ruang kepada mahasiswa menentukan sendiri hala tuju gerakan mereka.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, langkah yang dibuat itu juga membuka ruang lebih luas kepada gerakan mahasiswa di negara ini.

Iklan
Iklan

"Pengumuman ini bukan sekadar satu keputusan pentadbiran. Ia merupakan kemenangan penting dalam perjalanan panjang gerakan mahasiswa Malaysia yang sejak puluhan tahun menuntut sebuah kampus yang lebih bebas, demokratik dan menghormati mahasiswa sebagai warga dewasa yang mempunyai hak untuk berfikir, bersuara dan berorganisasi.

"Keputusan Kerajaan Madani untuk bergerak ke arah pemansuhan AUKU harus dilihat dalam konteks sejarah perjuangan yang panjang ini. Ia mengiktiraf bahawa mahasiswa tidak harus dibentuk melalui budaya takut dan kawalan berlebihan.

Iklan

"Mahasiswa mesti diberikan kepercayaan untuk berfikir, berdebat, berbeza pandangan, mengkritik dan menawarkan penyelesaian kepada negara," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap dalam Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka berkata, kerajaan akan memansuhkan akta berkenaan bagi memberi kebebasan dan ruang demokrasi lebih luas kepada gerakan mahasiswa di negara ini.

Iklan

Beliau berkata, keputusan itu dibuat susulan memorandum dan pandangan yang dikemukakan kepimpinan mahasiswa, yang mahukan perubahan menyeluruh terhadap akta berkenaan.

Mengulas lanjut, Muhammad Kamil berkata, kebebasan universiti bukan bermaksud kebebasan tanpa tanggungjawab, sebaliknya diukur dengan kematangan dalam mengurus perbezaan pandangan melalui ilmu, hujah dan dialog.

Ujarnya, kampus tidak seharusnya melahirkan generasi yang sekadar menurut, tetapi generasi yang berani bertanya, mencabar kebiasaan dan mempertahankan kebenaran dengan penuh tanggungjawab.

"AMK menyeru seluruh mahasiswa dan anak muda Malaysia supaya melihat perkembangan ini sebagai bukti bahawa reformasi memerlukan keberanian politik, kesabaran dan sokongan untuk diterjemahkan menjadi perubahan sebenar," ujarnya.

Selain itu katanya, Kerajaan Madani pimpinan Anwar juga perlu terus diberikan ruang dan dukungan untuk meneruskan agenda reformasi institusi yang telah lama diperjuangkan.

Beliau menambah, reformasi tidak selesai dengan satu pengumuman dan tidak terhenti dengan satu akta, sebaliknya banyak pembaharuan yang perlu digerakkan dan mahasiswa mesti menjadi antara tenaga terpenting yang mengawal, mendesak serta bersama-sama menjayakannya.

 


Mansuh AUKU langkah besar realisasi agenda Reformasi - Ahli MPP PKR

SHAH ALAM - Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) akan dimansuhkan disifatkan sebagai satu lagi langkah besar dalam merealisasikan agenda Reformasi.

Timbalan Setiausaha Agung merangkap Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), G Sivamalar berkata, desakan untuk mereformasi dan memansuhkan AUKU telah berlangsung sejak sekian lama sebagai sebahagian daripada usaha mengembalikan kebebasan mahasiswa serta memperkukuh autonomi universiti.

Menurutnya, langkah reformasi terhadap AUKU telah dimulakan ketika Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran pada 2018 menerusi pemansuhan Seksyen 15(2)(c) yang menyekat penglibatan mahasiswa dalam aktiviti politik di kampus.

"Reformasi diteruskan di bawah Kerajaan Madani menerusi pindaan AUKU pada 2024 yang antara lain memberikan lebih autonomi kepada badan mahasiswa dalam pengurusan kewangan serta menambah baik mekanisme tatatertib pelajar. “Namun, reformasi tidak boleh berhenti dengan pindaan demi pindaan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sivamalar berkata, universiti seharusnya menjadi medan ilmu, perbahasan dan pemikiran kritis manakala mahasiswa yang berani bertanya, mengkritik serta mempunyai pandangan berbeza tidak seharusnya dianggap sebagai ancaman.

"Kita tidak perlu takut kepada mahasiswa yang berani bersuara. Kita sepatutnya lebih bimbang apabila mahasiswa memilih untuk berdiam diri."Sebab itu, pengumuman Perdana Menteri bahawa AUKU akan dimansuhkan merupakan satu langkah besar," katanya.

Beliau berkata, selepas lebih lima dekad AUKU berkuat kuasa, sudah tiba masanya Malaysia bergerak ke arah kerangka pendidikan tinggi yang lebih terbuka, progresif dan selari dengan tuntutan semasa.

Bagaimanapun, katanya, pemansuhan AUKU perlu disusuli kerangka perundangan baharu yang menjamin kebebasan akademik, autonomi universiti, hak mahasiswa serta kebertanggungjawaban institusi.

"Bagi saya, mesejnya cukup jelas. Janji politik bukan sekadar untuk memenangi pilihan raya. Apabila rakyat memberikan mandat, janji itu menjadi amanah untuk ditunaikan.

"Masih banyak agenda reformasi yang perlu disempurnakan. Pengumuman hari ini adalah satu lagi langkah penting ke arah menunaikan agenda tersebut," katanya.

Sivamalar menegaskan pemansuhan AUKU bukan hadiah kepada mahasiswa. Sebaliknya beliau berpandangan pengiktirafan terhadap hak mereka untuk berfikir, bersuara, berorganisasi dan mengambil bahagian dalam menentukan masa depan negara.