ROMPIN - [KEMAS KINI] Dua mangsa dalam kebakaran melibatkan dua rumah di Desa Mawar 2, Muadzam Shah di sini pada awal pagi Sabtu ditemui rentung manakala seorang lagi didapati tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia dalam longkang berhampiran.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Mohd Kahurolaizam Mokhtar, 42, isterinya, Siti Zaleha Aluha, 31 dan anak lelaki mereka,Muhamad Putra Rayqal, 4.
Menurutnya, dua lagi anak pasangan itu, Putra Aliff Haiqal,16 dan Mohamad Putra Haikal,10, selamat apabila sempat lari keluar dari rumah semasa kejadian.
"Siti Zaleha dan anak lelakinya ditemui rentung selepas terperangkap dalam bilik rumah yang hangus, manakala Mohd Kahurolaizam ditemui dalam longkang di hadapan rumah, dipercayai terjatuh ketika cuba menyelamatkan diri.
"Penghuni sebuah lagi rumah yang terbakar iaitu pasangan suami isteri dan empat anak mereka selamat," katanya.
Sharif Shai berkata, Balai Polis Muadzam Shah terima panggilan telefon dari Pejabat Gerakan IPD Rompin jam 4.17 pagi yang memaklumkan berhubung kebakaran dua rumah tersebut dan polis tiba di di lokasi kejadian pada jam 4.35 pagi.
"Sebaik tiba, mendapati anggota bomba bersama sebuah jentera sedang berusaha memadamkan kebakaran. Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 5.05 pagi," katanya.
Beliau berkata, jenazah semua mangsa dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk proses bedah siasat.