IPOH - Pihak berkuasa tempatan (PBT) dicadang menggunakan kuasa mahkamah bagi membolehkan kerja pembersihan dilakukan di lot perumahan terbiar yang berpotensi menjadi lokasi pembiakan nyamuk Aedes.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India, Datuk A Sivanesan berkata, pendekatan itu perlu dilaksanakan secara bersepadu dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) bagi menangani risiko penularan denggi.
Menurutnya, PBT ketika ini berdepan kekangan kerana tidak mempunyai kuasa untuk memasuki premis persendirian yang terbiar bagi tujuan pembersihan.
“Jadi saya cadangkan PBT bekerjasama dengan PTG untuk mengenal pasti pemilik premis melalui carian rasmi sebelum mengeluarkan notis tuntutan pembersihan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau keadaan rumah tinggal di Taman Lim di sini yang didakwa berisiko tinggi terhadap denggi dan chikungunya susulan longkang tersumbat serta rumput tidak dipotong.
Sivanesan berkata, tindakan lebih tegas termasuk lelongan juga wajar dipertimbangkan sekiranya pemilik kediaman terus berdegil dan gagal menyelenggara hartanah masing-masing.
“Saya akan bercakap dengan Datuk Bandar dan Pengarah PTG berkaitan perkara ini agar tindakan segera dapat diambil,” katanya.
Tegasnya, tindakan pembersihan perlu diberi perhatian bagi memastikan keadaan persekitaran yang tidak terurus, tidak meningkatkan risiko penularan penyakit bawaan nyamuk.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Kinta sedang menjalankan penilaian risiko di Taman Lim dan hasil dapatan akan dikongsi bersama pihak berkepentingan termasuk Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Katanya, antara isu utama yang dikenal pasti ialah kewujudan kira-kira 19 rumah banglo terbiar yang tidak diselenggara, sekali gus berpotensi menjadi lokasi pembiakan nyamuk Aedes.
“Pada tahun ini hanya dua kes denggi didaftarkan di Taman Lim, masing-masing pada Mei dan Jun, manakala tahun lalu hanya satu kes dilaporkan.
“Wabak terakhir direkodkan pada Januari 2024 yang melibatkan empat kes dan tiada kes chikungunya dilaporkan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini,” katanya.