SVALBARD - Seorang individu didenda selepas mengejutkan seekor beruang kutub yang sedang tidur di kepulauan Svalbard, Norway.
Kejadian berlaku awal bulan lalu selepas dia membunyikan hon dari sebuah kapal yang belayar di sebuah teluk glasier di barat laut Svalbard, kira-kira 1,000 kilometer dari Kutub Utara.
Gabenor Lars Fause berkata, tindakannya menyebabkan haiwan itu terjaga sebelum ia bergerak ke lokasi lain.
Individu yang tidak didedahkan identitinya itu didenda 50,000 kroner (RM22,000) berhubung kejadian berkenaan
Di bawah peraturan tempatan, mana-mana individu dilarang mengganggu, menarik perhatian atau mengejar beruang kutub tanpa sebab munasabah.
Haiwan itu telah diisytiharkan sebagai spesies dilindungi di Svalbard sejak 1972.
Anggaran saintifik terakhir pada 2015 merekodkan kira-kira 250 ekor beruang kutub di kepulauan tersebut.
Ini bukanlah kali pertama individu didenda kerana mengganggu haiwan di Svalbard. Pada 2024, seorang pelancong didenda 11,500 kroner (RM5,000) kerana menghampiri seekor walrus. - Agensi