SURUHANJAYA Siasatan Diraja atau RCI sudah lama wujud di negara ini bertujuan untuk menjalankan siasatan awam bagi kes-kes berprofil tinggi dan ada kepentingan awam yang besar di Malaysia.
Namun, kuasa tersebut tertakluk kepada batas yang ditetapkan undang-undang termasuk perkara tertentu berkaitan agama Islam, adat Melayu serta bidang kuasa negeri Sabah dan Sarawak.
RCI pertama yang dijalankan di Malaysia ialah pada tahun 1965 dikenali sebagai Suruhanjaya Suffian dengan memberikan tumpuan tentang gaji penjawat awam, kenaikan pangkat dan syarat-syarat perkhidmatan awam.
Suruhanjaya itu dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara yang ketiga iaitu Tun Mohamed Suffian Mohamed Hashim pada 1 Mac 1965 dengan mengumpulkan pandangan dan bukti daripada pelbagai pihak sebelum membuat cadangan.
Ia mengambil masa sehingga tiga tahun untuk disiapkan namun syor yang diberikan tidak dilaksanakan secara serta-merta sebaliknya hanya dapat dilaksanakan pada 1 Januari 1970.
Dalam tempoh lima dekad, ada banyak RCI yang telah dibuat antaranya ialah RCI Athi Nahappan pada tahun 1965 yang memberikan tumpuan kepada kerajaan tempatan dan RCI Perkhidmatan Perguruan (1971), RCI Terminal Feri Butterworth (1988).
Pada tahun 1999 kerajaan pada ketika itu telah menubuhkan RCI insiden mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah dipukul ketika dalam tahanan.
Kemudian pada tahun 2007 ditubuhkan RCI video VK Lingam yang membongkar salah laku dan integriti kehakiman. Pada tahun 2011 RCI Teoh Beng Hock yang ditemukan mati ketika dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pada 2017 pula RCI Forex Bank Negara Malaysia yang menyiasat tentang kerugian dalam urusniaga matawang.
Disebabkan peranan dan kuasa RCI, pembangkang amat gemar mendesak pemerintah untuk melakukan RCI jika ada kes-kes besar berlaku di negara ini.
RCI adalah ruang untuk mencari fakta dan kemudian ia berakhir dengan dapatan dan cadangan.
Ia tidak boleh digunakan untuk menjatuhkan hukuman sebaliknya hasil laporan boleh dikemukakan kepada pihak berkuasa untuk memulakan siasatan mengikut peruntukan undang-undang.
Terkini ialah RCI melibatkan Lembaga Tabung Haji (TH) yang dibuat bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi institusi kewangan itu bagi tempoh 2014 hingga 2020.
RCI tersebut bukan sekadar melihat satu transaksi atau satu keputusan pelaburan, tetapi meneliti bagaimana TH ditadbir dan bagaimana keputusan kewangan dibuat serta faktor yang membawa kepada kemerosotan kedudukan kewangan institusi tersebut.
Hasil dapatan suruhanjaya itu sudahpun dibentangkan di Dewan Rakyat dan ia kini sedang dalam perhatian SPRM, namun tindakan seterusnya bergantung kepada hasil siasatan agensi penguatkuasaan itu serta Jabatan Peguam Negara.
Jadi ada banyak perbincangan, perdebatan dan penjelasan yang dibuat berhubung dapatan RCI, malangnya ada yang mengatakan ia bermotifkan politik semata-mata.
Bagaimanapun, situasi Tabung Haji kini adalah lebih baik berbanding sebelum ini dan berjaya diperbetulkan daripada sebarang ketelanjuran lalu yang menjadi titik hitam dalam institusi kewangan tersebut.
Soal siapa betul dan siapa yang salah itu kita serahkan kepada SPRM untuk menyelesaikan siasatan mereka nanti dan biarlah ia dibicarakan secara adil di mahkamah kelak.
Jangan lagi dibenarkan kecurangan serupa berlaku pada masa akan datang.
*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian