ALOR SETAR - “Kami tiada pilihan.”
Demikian luahan pesawah yang terpaksa mengeluarkan modal sendiri sehingga ribuan ringgit untuk membeli vitamin tanaman sebagai alternatif susulan kelewatan menerima baja tiga atau tambahan bagi tanaman padi mereka.
Pesawah dari Kampung Alor Gelegah, Hozali Ahmad, 56, berkata, dia terpaksa membelanjakan lebih RM2,000 bagi membeli vitamin untuk kegunaan tanaman seluas 20 relung atau 5.7 hektar.
Menurutnya, perbelanjaan itu perlu ditambah kira-kira RM2,000 lagi untuk membeli racun ulat menyebabkan kos meningkat berbanding musim sebelumnya.
“Kos sememangnya berganda apabila baja tiga ini mengalami kelewatan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat
Pada Khamis, media melaporkan kira-kira 40,000 daripada 60,000 pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) masih belum menerima baja tiga sekali gus dikhuatiri menjejaskan hasil padi musim ini.
Setakat ini, hanya kira-kira 20 peratus atau 120,000 daripada lebih 600,000 kampit baja tiga sudah diedarkan kepada pesawah di 27 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dalam kawasan MADA.
Hozali berkata, satu kampit baja tiga seberat 50 kilogram berharga sekitar RM230 dan boleh digunakan bagi keluasan kira-kira 0.57 hektar.
Katanya, vitamin itu digunakan sebagai alternatif untuk membantu membekalkan nutrisi kepada pokok padi bagi menyokong pembentukan tangkai dan pengisian buah.
Sementara itu, pesawah dari Kampung Alor Selut, Ahmad Ridzuan Mansor, 54, berkata, vitamin yang disembur pada tanaman membekalkan nutrisi melalui daun, berbeza dengan baja tiga yang ditabur dan nutrisi diserap melalui akar.
Menurutnya, penggunaan vitamin itu terpaksa dilakukan kerana tanaman kini berada pada peringkat mengeluarkan buah dan memerlukan nutrisi mencukupi.
“Saya usahakan empat relung dan perlu beli vitamin sekitar RM300 untuk ganti baja tiga.
“Kena bagi vitamin sebab sekarang pokok padi tengah keluarkan buah. Kalau tidak diberikan, hasil padi mungkin berkurang,” ujarnya.
Bagi pesawah dari Kampung Alor Mengkudu, Md Nor Ismail, 41, pula, ada pesawah menggunakan baki baja tiga musim lalu, namun jumlah itu masih tidak mencukupi menampung keperluan tanaman musim ini.
Katanya, pesawah yang mempunyai kemampuan terpaksa mengeluarkan wang sendiri membeli baja tiga atau vitamin berkenaan.
“Bagi pesawah yang tidak mempunyai modal, ada yang terpaksa tinggal macam itu sahaja dan hadap saja berapa hasil yang dapat nanti apabila dituai,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob mencadangkan kerajaan membayar bantuan secara sekali bayar (one-off) sekiranya kelewatan baja tambahan itu tidak dapat diselesaikan dalam tempoh ditetapkan.
Menurutnya, langkah itu wajar dipertimbangkan bagi membantu pesawah yang dijangka berdepan pengurangan hasil sehingga 20 peratus akibat kelewatan baja berkenaan.
“PeSAWAH minta kerajaan menilai perkara ini bagi membantu mengurangkan beban para petani yang terpaksa menanggung kerugian akibat masalah kelewatan baja tiga ini.
“Kami juga menggesa supaya pihak kerajaan menilai kembali pihak yang menguruskan penghantaran baja tiga ini dan mahu masalah sama tidak berulang pada masa hadapan,” katanya.