KUANTAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini menjalankan pemeriksaan dan kajian terhadap status pokok-pokok besar dan tua, khususnya yang berpotensi mendatangkan bahaya kepada keselamatan orang awam.
Titah baginda, langkah berkenaan perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan berkala bagi mengenal pasti pokok-pokok yang berada dalam keadaan berisiko terutama di kawasan tumpuan awam, tepi jalan, kawasan perumahan serta lokasi yang sering menjadi laluan orang ramai.
Tegas baginda, sekiranya hasil pemeriksaan mendapati terdapat pokok yang boleh mendatangkan bahaya, tindakan susulan perlu diambil segera oleh pihak berkuasa berkaitan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
“Semua PBT perlu kaji status pokok-pokok yang besar dan tua. Kalau difikirkan boleh mendatangkan bahaya, perlu buat tindakan susulan.
“Jangan tunggu sehingga berlaku kejadian yang tidak diingini, terutama yang boleh mengancam keselamatan dan nyawa rakyat,” titah baginda dalam kenyataan pada Jumaat.
Baginda bertitah demikian sebagai mengambil berat terhadap aspek keselamatan rakyat susulan kejadian pokok tumbang yang mengakibatkan kehilangan nyawa dan kecederaan kepada orang awam baru-baru ini.
Al-Sultan Abdullah turut menitahkan supaya PBT memberi perhatian khusus terhadap pokok-pokok yang telah berusia atau mengalami kerosakan
Titah baginda lagi, perhatian juga perlu diberikan terhadap pokok yang mempunyai dahan besar dan reput, terutama yang berisiko tumbang ketika hujan lebat dan angin kencang.
Baginda berharap tindakan pemeriksaan dan penyelenggaraan secara proaktif dapat dilaksanakan dengan sebaiknya oleh semua PBT bagi memastikan keselamatan orang awam sentiasa menjadi keutamaan.
"Langkah tersebut juga penting bagi memastikan sebarang risiko dapat dikenal pasti lebih awal dan tindakan pencegahan dapat diambil sebelum berlaku kejadian yang boleh mengakibatkan kehilangan nyawa, kecederaan atau kerosakan harta benda," titah Al-Sultan Abdullah.