Kerajaan tawar penyelesaian isu pampasan Duta Enclave

Iklan
Laporan kes bagi taksiran ganti rugi yang perlu dibayar kerajaan kepada Semantan Estate.

KUALA LUMPUR – Pertikaian tanah seluas 106.5 hektar di Mukim Batu yang dikenali sebagai Duta Enclave (Jalan Duta) menuju penyelesaian selepas kerajaan mengemukakan tawaran penyelesaian pampasan kepada Semantan Estate (1952) Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat.

Tanah yang menjadi pertikaian itu terletak di kawasan strategik Jalan Duta dikenali sebagai Enklaf Duta yang kini menempatkan beberapa bangunan Kerajaan termasuk Stadium Hoki Nasional, Institut Integriti Malaysia, Arkib Negara, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Iklan
Iklan

Semasa prosiding di hadapan Hakim Roslan Mat Noor, Peguam Persekutuan Kanan Nurhafizza Azizan, kerajaan selaku defenden menyatakan kesediaan untuk menyelesaikan jumlah pampasan yang perlu dibayar kepada syarikat berkenaan.

Beliau memaklumkan kerajaan mahu menyelesaikan kes berkenaan secepat mungkin.

Iklan

Susulan itu demi keadilan beliau merasakan peguam yang mewakili Semantan Estate selaku plaintif mungkin memerlukan sedikit masa untuk berunding dengan anak guam berhubung penyelesaian tersebut.

“Semua cadangan penyelesaian pampasan mesti diluluskan terlebih dahulu oleh Kementerian Kewangan,” katanya.

Iklan

Bagaimanapun, butiran lengkap tawaran itu tidak didedahkan kepada mahkamah.

Sementara itu, peguam, Ira Biswas yang mewakili Estet Semantan kemudiannya memohon prosiding ditangguhkan bagi mendapatkan maklum balas anak guam.

Selepas mendengar permohonan daripada semua pihak, hakim menolak permohonan penangguhan berkenaan dan mengarahkan perbicaraan diteruskan mengikut jadual.

“Mahkamah tidak boleh sewenang-wenangnya membenarkan permohonan penangguhan memandangkan kes tersebut berlanjutan sejak sekian lama,” kata Roslan.

Mahkamah kemudian memanggil juruukur bertauliah, Foo Gee Jen sebagai saksi plaintif pertama, untuk memberikan keterangan.

Pada tahun 2003, Semantan Estate memfailkan saman terhadap kerajaan mendakwa berlaku pencerobohan tanah secara haram daripada syarikat itu.

Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman, Zura Yahya memutuskan bahawa Semantan Estate mengekalkan kepentingan berfaedahnya dalam tanah itu yang telah diambil secara tidak sah oleh kerajaan.

Kerajaan kemudian memfailkan rayuan, namun ia ditolak pada 18 Mei 2012.

Kemudian pada 21 November 2012, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan untuk mendapatkan kebenaran merayu berhubung keputusan itu.

Semantan Estate memfailkan saman pemula terhadap Pendaftar Tanah Wilayah Persekutuan pada Februari 2017 untuk menguatkuasakan penghakiman Mahkamah Tinggi 2009.

Beberapa tahun kemudian iaitu pada 2018, Mahkamah Persekutuan sekali lagi menolak permohonan Kerajaan untuk menyemak semula keputusannya sebelum ini.

Kerajaan juga telah mencadangkan penyelesaian berhubung pertikaian tanah itu.

Pada 7 Ogos 2024, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membenarkan permohonan pelikuidasi Semantan Estate untuk mendapatkan semula tanah yang menempatkan beberapa kompleks bangunan Kerajaan kepada syarikat berkenaan.

Beliau memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan syarikat terbabit untuk menguatkuasakan perintah 2009.

Menerusi keputusan penghakimannya, beliau memerintahkan kerajaan melaksanakan syarat yang diminta dalam tempoh tiga bulan penghakiman berkenaan.

Hakim itu juga membenarkan pelikuidasi syarikat sebagai pemilik asal tanah dan Kerajaan diarah membayar kos sebanyak RM50,000.

Mahkamah juga membenarkan permohonan syarikat, agar kerajaan mendaftarkan pelikuidasi Ladang Semantan sebagai pemilik rasmi tanah dan bebas daripada bebanan.

Ia termasuk kertas kerja undang-undang yang diperlukan secara lengkap untuk memindahkan hak milik tanah, mengeluarkan hak milik tanah baharu atas nama pelikuidasi dan mengembalikan pemilikan fizikal tanah kepada pemilik sah.

Keputusan iu sekali gus menyelesaikan pertikaian tanah sivil antara paling lama di Malaysia sejak merdeka iaitu selama hampir tujuh dekad.

Pertikaian tanah seluas 106.5 hektar di Mukim Batu yang dikenali sebagai Duta Enclave (Jalan Duta) menuju penyelesaian selepas kerajaan mengemukakan tawaran penyelesaian pampasan kepada Semantan Estate (1952) Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi pada Jumaat.

Pada 24 Jun 2025, Mahkamah Rayuan memutuskan Semantan Estate tidak berhak terhadap hak milik tanah berkenaan, namun syarikat itu layak menerima pampasan sewajarnya berdasarkan nilai tanah pada 1956, iaitu ketika ia diambil alih Kerajaan.

Pada 13 November 2025, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Semantan Estate untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan itu.

Keputusan Mahkamah Rayuan yang memihak kepada kerajaan kekal berkuat kuasa selepas syarikat berkenaan gagal memperoleh kebenaran untuk membawa rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Kes berkenaan kemudian dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk prosiding pentaksiran ganti rugi.