PELABUHAN KLANG - Cubaan membawa masuk 57 kontena mengandungi besi dan plastik skrap bernilai RM4.96 juta secara tidak sah melalui Zon Bebas Pelabuhan Klang di sini digagalkan menerusi operasi bersepadu tahun ini.
Penahanan kontena terbabit dilaksanakan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor dengan kerjasama National Targetting Centre bermula Januari hingga pertengahan Jun lalu.
Pengarah Kastam Selangor, Noraidah Ishak berkata, pemeriksaan menemukan 13 kontena mengandungi 351,185 kilogram (kg) besi skrap, manakala 44 kontena mengandungi 841,552.50 kg plastik skrap yang dipercayai tidak mempunyai permit import.
"Besi skrap dianggarkan bernilai RM1.9 juta, manakala plastik skrap berjumlah RM3.05 juta termasuk nilai duti dan cukai.
"Pengimportan dagangan ini tertaktluk kepada permit import yang dikeluarkan oleh Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) sebagaimana diperuntukkan di bawah Butiran 5 dan 6 Bahagian 1 Jadual Keempat, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Kastam Selangor di sini pada Jumaat.
Turut hadir ialah Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal.
Noraidah berkata, kes masih dalam siasatan dan kegiatan disyaki melibatkan beberapa sindiket yang membawa masuk kontena terbabit dipercayai dari negara Timur Tengah.
Tambahnya, modus operandi kemasukan dagangan itu ialah membuat pengimportan tidak benar di dalam Borang Kastam 1 dengan mengikrar dagangan antaranya sebagai alat acuan pembentuk, bahan aluminium serta tembaga.
Dalam kes berlainan, JKDM Selangor bersama AKPS merampas 1,578.43 liter minuman keras bernilai RM409,917 termasuk duti dan cukai di Zon Bebas Pelabuhan Utara di sini, 4 Mei lalu.
Jelas Noraidah, pelbagai jenis minuman keras itu dikesan disembunyikan bersama alat ganti kenderaan terpakai dalam sebuah kontena.
"Dipercayai minuman keras untuk pasaran tempatan itu tiba di Pelabuhan Klang pada 27 April dari sebuah negara Asia," ujarnya.
Kedua-kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967.
Justeru, beliau menggesa orang ramai membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan.