Suami isteri mengaku salah cederakan bayi asuhan hingga maut

Iklan
Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya.

JOHOR BAHRU - Pasangan suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan mendedahkan seorang bayi lelaki berusia tiga bulan yang diasuh mereka kepada kecederaan fizikal sehingga menyebabkan kematiannya, bulan lalu.

Mohd Iqbal Hassan, 36, dan Norsiayana Abd Samad, 34, mengaku bersalah selepas pertuduhan pindaan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang bayi lelaki berusia tiga bulan 11 hari, mendedahkan bayi berkenaan dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal sehingga menyebabkan kematian.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu sebuah rumah di Jalan Cendana 21, Taman Rinting, Masai di sini kira-kira jam 1.03 petang pada 29 Julai lalu.

Iklan

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak (Pindaan) 2006, dan boleh dihukum di bawah seksyen sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shamira Mohd Luthfi Ismail manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K Bharathi.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM7,000 bagi setiap tertuduh dan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 17 September depan sebagai tarikh sebutan bagi pembentangan fakta kes dan hukuman terhadap kedua-dua tertuduh.