AYER KEROH - Sokongan rakyat bukan bergantung kepada populariti semata-mata, sebaliknya perlu bermula dari bawah, popular saja tak cukup,” kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim.
Beliau berkata, kekuatan parti di peringkat akar umbi masih belum cukup kukuh untuk diterjemahkan kepada kemenangan selepas melalui beberapa pilihan raya termasuk di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan.
Menurutnya, keadaan itu menuntut parti melakukan muhasabah bagi menilai sama ada usaha yang dilakukan selama ini benar-benar mampu memastikan kelangsungan perjuangan reformasi.
“Itu adalah sebahagian daripada duri dan onak dalam kita mengharungi liku perjalanan dalam perjuangan ini.
“Itu juga menuntut kita untuk melihat, muhasabah dan merenung semula apakah kita sudah melakukan yang terbaik untuk memastikan kelangsungan dan juga obor perjuangan reformasi ini dapat terus kita galas,” katanya berucap pada Kongres Nasional Keadilan ke-19 pada Jumaat.
Kamil berkata, selepas menjadi sebahagian daripada kerajaan, PKR perlu memperbaharui pendekatan, strategi dan gerak kerja politik supaya lebih tersusun, teratur, berstruktur serta bersasar.
“Cabaran ketika reformasi berada di luar kerajaan dan ketika reformasi berada di dalam kerajaan adalah merupakan dua cabaran yang berbeza.
“Jadi oleh itu, jangan putus asa. Terima kenyataan yang pahit ini. Rakyat telah memberi kita satu isyarat yang jelas dan itu menuntut kita untuk bangun semula, bercakap bagi pihak rakyat dan melihat semula apakah pendekatan, strategi serta naratif yang lebih ampuh untuk meyakinkan rakyat kembali memberi kepercayaan kepada kita,” katanya.
Katanya, PKR pernah berada di titik terendah pada 2004 sebelum mencipta gelombang baharu pada 2008 apabila penguasaan dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Parlimen berjaya dinafikan.
“10 tahun kemudian daripada 2008, iaitu 2018, buat pertama kali dalam sejarah kita berjaya tumbangkan rejim UMNO-Barisan Nasional.
“Sebab itu jangan gusar, jangan sedih. Kuatkan semangat kita, kuatkan tekad kita, kuatkan azam kita.
“Insya-Allah, 10 tahun selepas 2018, kita akan mampu mencipta satu lagi kejayaan untuk keadilan dan rakyat Malaysia,” katanya.