Dua lelaki didenda RM7,000 minta wang, menyamar kakitangan kesihatan

Iklan
Mohamad Ridzuan dan Khairul Alamin mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar pada Jumaat atas dua pertuduhan melakukan pemerasan dan menyamar sebagai penjawat awam KKM, bulan lalu.

KUALA KANGSAR - Seorang bekas penolong pegawai kesihatan dan rakannya masing-masing didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Kangsar pada Jumaat selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan pemerasan dan menyamar sebagai penjawat awam, bulan lalu.

Mohamad Ridzuan Dahalan, 34, dan Khairul Alamin Mohamed Daud, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Azlin Zeti Zainal Abidin.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama melakukan pemerasan terhadap Mohamad Pandak, 59, dengan niat tidak jujur bagi mendorong mangsa menyerahkan wang sebanyak RM2,000.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di kawasan sebuah chalet di Kampung Kenang Baru Jalong Tinggi dalam daerah Sungai Siput (U), kira-kira jam 9 pagi pada 30 Julai 2026.

Iklan

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa pada waktu dan lokasi sama menyamar dengan memegang jawatan sebagai penjawat awam iaitu Penolong Pegawai Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Iklan

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Mirza Zulaikha Mohd Fadzly, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Chan Hong Yan.

Dalam rayuan, kedua-dua tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda minimum dengan alasan masing-masing telah berkahwin dan mempunyai tiga anak selain ini merupakan kesalahan pertama mereka.

Mahkamah kemudian menjatuhkan denda RM5,000 terhadap setiap tertuduh bagi pertuduhan pertama, masing-masing dihukum penjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Bagi pertuduhan kedua, kedua-dua tertuduh didenda RM2,000 setiap seorang dan dikenakan hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut fakta kes, Mohamad Ridzuan yang telah ditamatkan perkhidmatan kontrak pada 4 November 2025, dan Khairul Alamin yang bekerja sebagai pekerja kontrak, hadir ke chalet pengadu dengan memperkenalkan diri sebagai kakitangan awam dari Jabatan Kesihatan Perak bagi menjalankan pemeriksaan berhubung aduan kes kencing tikus.

Selepas pemeriksaan, kedua-dua tertuduh memberitahu pengadu mereka tidak mahu mengambil tindakan undang-undang, sebaliknya meminta bayaran RM2,000. Pengadu menyerahkan wang tersebut secara tunai kerana terpaksa.

Semakan kemudian mendapati kedua-dua tertuduh bukan kakitangan KKM dan tidak mempunyai kuasa menjalankan pemeriksaan atau mengenakan bayaran bagi pihak kementerian.

Kedua-dua tertuduh ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sungai Siput pada 11 Ogos 2026.