MERAK Jalanan melihat ketegasan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terhadap penganjur RXZ Members bukan untuk menamatkan penganjuran, sebaliknya membuka jalan kepada acara lebih bermaruah dan bertaraf antarabangsa.
Selepas lapan edisi, kehadiran peserta luar negara seperti dari Brunei, Thailand dan Indonesia membuktikan RXZ Members sudah merentas sempadan.
RXZ Members umpama produk pelancongan tahunan Terengganu kerana membawa duit yang menghidupkan hotel, inap desa, restoran, stesen minyak, bengkel dan peniaga kecil.
Perhimpunan permotoran di negara lain seperti Vespa World Days dan European Bike Week juga membuktikan acara tersebut menggerakkan sektor ekonomi yang memberi manfaat kepada penduduk.
Namun, taraf dunia tidak diukur melalui jumlah peserta dan kemeriahan sahaja memandangkan 46 kemalangan termasuk 11 kes maut direkodkan sepanjang empat hari perjalanan pergi dan balik untuk edisi tahun ini.
Arahan JPJ mengenai pendaftaran dalam talian, lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM), insurans dan gambar motosikal bukan kerenah birokrasi, sebaliknya menjadi asas keyakinan terhadap keselamatan acara.
JPJ tegas dalam bidang kuasanya manakala polis, konsesi lebuh raya, kerajaan negeri, agensi pelancongan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penganjur mesti membina kerangka pengurusan bersama.
Oleh itu Merak Jalanan yakin ‘garang’ JPJ adalah demi menjaga nyawa dan bertujuan melatih penganjur menguasai kemahiran menguruskan acara permotoran bertaraf dunia.
Sayang jika acara yang mendapat sambutan hangat itu dihentikan begitu sahaja.