JAKARTA – Seorang lelaki berusia 37 tahun disyaki merogol dan membunuh kanak-kanak perempuan berusia enam tahun sebelum membuang mangsa ke dalam perigi di Desa Huta Holbung, Sumatera Utara.
Mangsa ditemukan meninggal dunia dalam perigi milik penduduk pada 2 Ogos lalu sebelum keluarganya meminta bedah siasat kerana curiga dengan punca kematiannya.
Ketua Perhubungan Awam Polis Sumatera Utara, Ferry Walintukan berkata, bedah siasat menemukan kesan lebam pada leher serta kecederaan akibat kekerasan benda tumpul pada kemaluan dan dubur mangsa.
Mangsa turut mengalami sesak nafas akibat cecair memasuki saluran pernafasan.
Siasatan kemudian membawa kepada penahanan suspek dikenali sebagai MH, yang mengaku melakukan keganasan seksual terhadap mangsa di sebuah pondok berhampiran lokasi mayat ditemukan.
Menurut polis, suspek turut menyembunyikan mangsa yang ketika itu dalam keadaan lemah di kawasan perkuburan sebelum membawanya semula ke pondok dan melakukan keganasan seksual sekali lagi.
Suspek kemudian membuang mangsa ke dalam perigi sebelum mayatnya ditemukan penduduk.
Polis merampas kain sarung, pakaian mangsa dan sebuah motosikal yang dipercayai digunakan untuk memindahkan mangsa sebagai bahan bukti. - Agensi