SHAH ALAM - Seorang lelaki yang menjadi sasaran kecaman selepas insiden kekecohan operasi penangkapan anjing liar, Muhammad Shah Hizam, 24, mendakwa menerima ancaman terhadap diri dan keluarganya selepas kejadian itu tular di media sosial.
Menurut Muhammad Shah, ancaman itu diterima pada hari pertama dan kedua selepas kejadian apabila terdapat individu datang ke kawasan kediaman untuk mencarinya.
"Selepas beberapa hari ini, tiada lagi ancaman berbentuk fizikal berbanding semasa hari pertama dan kedua ketika perkara ini masih tular," katanya pada sidang media #JusticeForShah di Bukit Jelutong di sini pada Khamis.
Muhammad Shah memberitahu, individu terbabit bagaimanapun gagal menemuinya kerana keselamatannya ketika itu dijaga pihak Kawasan Rukun Tetangga (KRT).
Beliau turut mengakui berasa terancam apabila terdapat komen di media sosial yang bukan sahaja menyasarkan dirinya, malah turut mengugut keluarganya.
Mengulas sokongan diterima sepanjang berdepan isu itu, Muhammad Shah berkata, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) sentiasa memberikan sokongan termasuk menghubungi bagi memaklumkan perkembangan terkini.
Muhammad Shah menegaskan, kehadirannya di Taman Telok Gedong Indah, Klang adalah bagi menjalankan tugas dan bukan dengan niat untuk mencederakan atau membunuh mana-mana haiwan.
"Saya tak sokong kekejaman, jauh sekali berniat nak mencederakan atau membunuh mana-mana haiwan," jelasnya.
Menurut Muhammad Shah, kehadirannya bersama rakan dan pihak MBDK bagi memastikan operasi itu berjalan mengikut prosedur ditetapkan.
"Bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini, ada pihak menasihatkan supaya mematuhi produser ditetapkan," katanya.
Sementara itu, peguam Muhammad Shah, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, anak guamnya hadir dalam operasi itu selepas dijemput secara bertulis oleh KRT Jalan Sama Gagah, Taman Telok Gedung Indah, Klang.
Katanya, semua peserta operasi sudah diberikan taklimat oleh anggota MBDK mengenai kaedah tangkapan, manakala alat penjerut leher atau loop yang digunakan bukan milik Muhammad Shah, sebaliknya dibekalkan pihak MBDK.
"MBDK tunjuk cara nak buat tangkapan, malah paling penting, alat loop itu bukan milik peribadi Muhammad Shah, sebaliknya pihak MBDK yang bekalkan," katanya.
Rafique berkata, keadaan menjadi kelam-kabut apabila seorang wanita mendakwa sebagai pemilik Rocky datang dan cuba menghalang anjing terbabit daripada dibawa pergi.
"Berdasarkan apa yang Muhammad Shah lihat sendiri, wanita itu tiba-tiba datang peluk dan duduk atas badan Rocky sebab nak halang anjing itu dibawa pergi hingga berlaku tarik-menarik sedangkan alat loop masih ada di leher Rocky," katanya.
Menurutnya, operasi pada malam itu berjaya menangkap 12 anjing liar lain tanpa sebarang kecederaan, manakala Rocky satu-satunya anjing yang disahkan mati akibat insiden kekecohan itu.
Dalam pada itu, Rafique mendakwa Muhammad Shah menjadi mangsa buli siber ekstrem susulan penularan video kejadian yang didakwa hanya memaparkan sebahagian insiden.
"Tuduhan, penghinaan dan ancaman telah memberikan tekanan emosi yang amat berat kepada Muhammad Shah.
"Wajah dan identitinya disebarkan secara meluas, dia dilabel sebagai pembunuh dan penyeksa haiwan, malah ada yang mendoakan kecelakaan kepada keluarganya," katanya.
Rafique turut mempertikaikan penyebaran imej X-ray yang didakwa menunjukkan tulang belakang Rocky patah akibat dipukul, sebaliknya memaklumkan imej itu adalah palsu.
"Kita pun tak tahu gambar X-ray itu daripada siapa, daripada mana dan bagaimana ia boleh timbul," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihak peguam kini sedang mendokumentasikan segala komen berbaur ugutan dan fitnah di media sosial untuk tindakan lanjut.
"Kita tidak akan teragak-agak memulakan tindakan undang-undang sivil termasuk saman fitnah terhadap individu atau portal yang mencetuskan provokasi terbabit," tambah beliau.