Persoal tindakan ketuk kepala anak, ibu pula dipukul guru guna tongkat

Iklan
Suspek telah ditangkap dan direman selama tiga hari bermula Rabu hingga Sabtu bagi membantu siasatan.

PASIR MAS - [DIKEMAS KINI] Seorang guru dipercayai memukul ibu kepada murid menggunakan tongkat semasa pertemuan di pejabat sebuah sekolah kebangsaan di sini pada Rabu, selepas wanita itu mempersoalkan tindakan guru berkenaan yang didakwa mengetuk kepala anaknya menggunakan tongkat.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.43 pagi ketika satu pertemuan antara ibu murid dan guru terbabit diadakan bagi membincangkan perkara berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, siasatan awal mendapati wanita berkenaan sebelum itu menerima aduan daripada anaknya bahawa murid terbabit diketuk di bahagian kepala menggunakan tongkat oleh suspek ketika berada di sekolah.

"Pertemuan antara suspek dan pengadu disaksikan Guru Besar di dalam pejabat sekolah.

Iklan

"Bagaimanapun, ketika sesi perbincangan, suspek secara tiba-tiba menengking sebelum memukul pengadu di bahagian paha kanan menggunakan sebatang tongkat," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mazlan memberitahu, wanita berkenaan yang berasa takut kemudian melarikan diri, manakala kejadian itu turut disaksikan Guru Besar yang tidak menjangka suspek bertindak sedemikian.

Iklan

Ujar beliau, pihaknya menerima laporan polis daripada pengadu, seorang wanita yang juga ibu kepada murid terbabit pada hari sama.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.

"Jika sabit kesalahan, suspek berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman itu," katanya.

Menurut beliau, suspek telah ditangkap dan direman selama tiga hari bermula Rabu hingga Sabtu bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak mengikut emosi sehingga boleh mendatangkan kecederaan kepada orang lain.