JASIN – Sekatan jalan raya yang dilakukan pihak polis di daerah ini semalam membongkarkan kegiatan pengedaran dadah membabitkan seorang jurulatih renang.
Penahanan kira-kira jam 11.30 pagi itu membawa kepada operasi lanjut yang menyaksikan pelbagai jenis dadah dengan nilai keseluruhan RM6.8 juta dirampas.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, suspek dikesan ketika anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik serta Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Jasin menjalankan sekatan jalan raya.
Katanya, tindakan memeriksa Toyota Vios yang dinaiki lelaki itu dibuat selepas gerak-gerinya menimbulkan syak wasangka.
Hasil pemeriksaan, polis menemukan ketamin seberat 3.70 gram dan MDMA (3,4-methylenedioxymethamphetamine) sebanyak 27.50 kilogram yang disimpan dalam bungkusan menyerupai paket jus minuman.
Menurutnya, maklumat yang diperoleh susulan penahanan itu kemudian digunakan untuk menggerakkan operasi di Johor dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri berkenaan.
Operasi berkenaan membolehkan polis mengenal pasti lokasi penyimpanan dadah serta sumber bekalan bahan terlarang itu.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, di sini, hari ini.