PETALING JAYA – Nama seorang wanita warga emas, Entah binti Ta’tahu, mencuri perhatian pengguna media sosial selepas kisah mengenai namanya dikongsikan di TikTok.
Wanita yang menetap di Kuala Krau, Temerloh, Pahang itu memperkenalkan namanya ketika berbual dengan Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said.
Ismail kemudian memuat naik video pertemuan tersebut menerusi akaun TikTok miliknya, selain menunjukkan MyKad wanita berkenaan yang tertera nama Entah binti Ta’tahu.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial, malah ada yang turut menceritakan pengalaman mempunyai ahli keluarga dengan nama yang dianggap unik.
Pengguna bernama K Fiys berkongsi cerita yang pernah didengarnya ketika kecil mengenai seorang bayi yang didakwa diberikan nama ‘Entah binti Tak Tahu’.
“Cerita tu dengar waktu kecil, tapi baru sekarang jumpa orangnya. Allahuakbar,” katanya.